Nur Siti Fatimah selesa jaga lembu

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

MASJID TANAH 7 jun – Berkat usaha dan minat Nur Siti Fatimah Azman, 30, sebelum ini menjalankan perniagaan katering, membuktikan dia juga boleh berjaya dalam bidang penternakan apabila kini memiliki 500 ternakan membabitkan kambing, rusa, lembu tempatan dan lembu sado.

Kejayaan Nur Siti Fatimah juga menepis stigma kononnya bidang penternakan hanya sesuai untuk kaum lelaki, berikutan pekerjaan itu yang dikatakan memerlukan individu benar-benar lasak selain keberanian untuk mengendalikan ternakan.

Nur Siti Fatimah berkata, keputusan untuk bersama-sama abang sepupunya Mohd Firdhaus Mohd Redzo, 40, mengusahakan ladang haiwan ternakan dianggap sebagai pilihan tepat bagi dirinya meskipun pada permulaan mendapat tentangan daripada keluarga.

Graduan universiti swasta ini berkata, jantina bukan penghalang untuk dia terbabit secara langsung dalam bidang penternakan, kerana apa yang dilakukan adalah atas dasar minat.

“Saya kerap menerima tempahan katering bagi majlis aqiqah, jadi terfikir untuk mengeluarkan produk sendiri dari ladang sendiri. Sejak itu bermula perjuangan saya dalam bidang perternakan.

“Banyak yang saya belajar daripada abang sepupu yang sudah bertapak dalam bidang penternakan, untuk tambah ilmu saya mengikuti pelbagai kursus peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang melayakkan saya merawat haiwan yang sakit

“Keputusan ini juga dibuat kerana saya mahu masyarakat melihat sektor penternakan dan pertanian sebagai cabang pekerjaan profesional selain membantu kerajaan mengukuhkan lagi aspek keterjaminan makanan negara,” katanya ketika ditemui di ladang miliknya di Kampung Ayer Hitam Darat, Tanjung Bidara, di sini, semalam.

photo1686039635 (1)
NUR Siti Fatimah menguruskan ternakan lembu yang diusahakannya di Kampung Ayer Hitam Darat, Tanjung Bidara. Foto Iqmal Haqim Rosman

Dia yang sudah tujuh tahun aktif dalam bidang itu turut membiakkan lembu sado baka limosin dan charolais.

Anak kelahiran Lubok Cina ini berkata, selain itu dia menggunakan Permit Import (AP) untuk membawa masuk biri-biri dari New Zealand, Brazil dan Australia untuk dibiakkan.

Selain itu sejak dua tahun lalu dia mula berjinak-jinak dan mengumpul ilmu untuk membela rusa bagi mengembangkan lagi perusahaannya.

“Saya tidak kisah dengan bau busuk, harapan saya adalah untuk menjadi antara pembiak lembu sado di negara ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2536
Kongsi :
Previous post ‘Litter picker’ bantu matlamat Jasin bebas sampah – MPJ
Next post Lelaki kasari pemandu wanita direman tiga hari
Ubah saiz-+=