Op HRA: JPJ N.Sembilan guna dron pantau kesalahan jalan raya

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

SEREMBAN, 9 Mei – Dua dron yang pertama kali digunakan secara meluas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan sepanjang Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2022 dilihat lebih berkesan dari segi penguatkuasaan selain memudahkan pemantauan kesalahan pengguna jalan raya.

Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata sebanyak 30 kesalahan berjaya dirakam melalui dron berkenaan termasuk membabitkan penggunaan lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat merah dan memotong barisan.

“Lokasi tumpuan adalah di kawasan lebuh raya dan jalan utama di negeri ini bagi mengesan kesalahan jalan raya yang dilakukan pemandu. Dua pegawai JPJ berpengalaman ditempatkan bagi mengawal dron berkenaan,” katanya pada sidang media sempena Op HRA 2022 di sini hari ini.

Beliau berkata susulan keberkesanan penggunaan dron itu, pihaknya bercadang untuk menambah lima unit dron lagi selain memperluaskan penggunaannya bagi operasi lain pada masa akan datang.

Hanif Yusabra berkata pihaknya juga akan berbincang dengan Akademi JPJ Malaysia untuk menghantar pegawai-pegawai JPJ menjalani latihan bagi mengendalikan dron dengan baik.

Jelasnya, penggunaan dron itu diharapkan menjadi perception of being caught kepada semua pemandu pada masa akan datang selain mengingatkan mereka supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengelakkan tindakan tegas dikenakan.

Dalam pada itu, beliau berkata JPJ negeri turut mengeluarkan 316 saman atas pelbagai kesalahan dalam Op HRA terbabit dengan saman paling tinggi adalah memotong barisan iaitu 149 kes, melanggar lampu isyarat merah (92) dan memandu di lorong kecemasan (32).

Selain itu, beliau berkata sebanyak 2,010 kenderaan diperiksa sepanjang pelaksanaan operasi itu dan daripada jumlah tersebut, 610 kenderaan telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

Hanif Yusabra berkata ketika penguatkuasaan operasi itu juga, anggota JPJ telah membuat penyamaran sebagai penumpang bas dengan menaiki sebanyak 18 bas bagi mengesan kesalahan pemandu bas terbabit.

“Masih ada segelintir pemandu yang melanggar peraturan ditetapkan. Daripada jumlah bas yang dinaiki, sebanyak tiga bas diambil tindakan dengan tiga kesalahan dikesan iaitu dua kes melibatkan penggunaan telefon bimbit semasa memandu dan satu kes memandu secara tidak wajar iaitu mengekori terlalu rapat,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata sebanyak 16,377 saman dikeluarkan sepanjang Op HRA 2022 di seluruh negara hingga semalam hasil pemeriksaan terhadap 89,490 kenderaan sejak aktiviti penguatkuasaan penuh bermula 29 April lepas.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1281
Kongsi :
Previous post Mekanik didakwa bunuh isteri sehari sebelum Aidilfitri
Next post Kerajaan perkenal perkhidmatan pengkomputeran awan MyGovCloud
Ubah saiz-+=