Op Rahmah diteruskan musim tengkujuh, APM terima aset baharu
AYER KEROH 2 November – Penugasan Angkatan Pertahanan Awam (APM) menerusi Op Rahmah akan diteruskan sebagai persiapan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pertengahan November ini
Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Aminurrahim Mohamed berkata ia diteruskan susulan pihaknya melihat keberkesanan operasi itu ketika penugasan musim Monsun Barat Daya lalu.
“Op Rahmah ini sepatutnya tamat pada September lalu tetapi ia diteruskan selepas Jabatan Perdana Menteri (JPM) berpuas hati terhadap keberkesanannya.
“Objektif pelaksanaannya adalah melakukan rondaan dan pemantauan di lokasi yang menjadi tumpuan atau ‘hotspot’ dalam menjaga keselamatan.
“Untuk penugasan Op Rahmah ini ia membabitkan lebih 4,000 anggota termasuk sukarelawan di seluruh negara yang akan bersiap siaga menghadapi musim tengkujuh itu nanti.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Himpunan Setia APM Melaka yang turut dihadiri Pengarah APM negeri Leftenan Kolonel Kamarulsyah Muslim, di Ayer Keroh hari ini.
Menurut beliau, bagi menjalankan penugasan Op Rahmah juga APM menerima beberapa aset kenderaan baharu termasuk 225 motosikal.
“Peruntukan aset motosikal itu nanti juga akan membabitkan Sabah dan Sarawak selain Semenanjung (Malaysia). Ini adalah kali pertama dan paling banyak pernah diperoleh APM daripada kerajaan.
“Malah kita juga akan menambah baik pelaksanaan Kampung Siaga yang diwujudkan selain akan memberi latihan menghadapi bencana kepada penduduk,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.