Op TBC: Geng pecah rumah, kongsi gelap antara 65 dicekup di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 19 Feb – Seramai 65 individu termasuk 11 wanita yang disyaki terbabit dalam jenayah termasuk pecah rumah dan curi berjaya dicekup polis.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kesemua suspek ditahan pihaknya sepanjang 23 hari Op TBC dijalankan yang berakhir pada Rabu.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu seramai 404 individu termasuk 26 wanita diperiksa polis.

“Daripada tangkapan itu 10 adalah suspek dipercayai terbabit dalam pecah rumah serta curi dan susulan itu polis berjaya menyelesaikan 25 kes sepanjang Tahun Baharu Cina di daerah ini.

“Manakala 10 tangkapan lagi dilakukan dibawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) selain 21 suspek lagi adalah individu yang menjalankan kegiatan perjudian,” katanya.

Beliau berkata, turut ditahan 12 individu yang disyaki menganggotai pertubuhan haram (kongsi gelap) serta lima lagi membabitkan kesalahan dibawah Akta Imigresen.

“Kita turut menahan masing-masing seorang individu membabitkan kes mencederakan dan memiliki rokok tidak bercukai selain dua lagi tangkapan terkait dengan pemerdagangan bayi.

“Operasi ini dijalankan sebagai usaha mengekang sebarang bentuk jenayah daripada berlaku sepanjang tempoh sambutan Tahun Baru Cina, baru-baru ini,” katanya.

Menurut Christopher, pihaknya amat komited dalam mencegah dan membanteras jenayah dari semua sudut agar ketenteraman awam dapat dicapai terutamanya dalam tempoh perayaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1576
Kongsi :
Previous post Anak yatim teruja pertama kali tonton wayang di pawagam
Next post Kerajaan sedia pelan pastikan bekalan telur cukup menjelang puasa, raya
Ubah saiz-+=