Sorting by

×

Operasi pemandu warga asing: 36 individu ditahan di ibu kota

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Seramai 36 pendatang tanpa izin ditahan kerana memandu tanpa lesen dan melakukan pelbagai kesalahan imigresen dalam Operasi Pemandu Warga Asing yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur di sekitar Pandan Indah di sini hari ini.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan JPJ Kuala Lumpur Raja Nur Syuhaidah Raja Azmi berkata dalam operasi berkenaan bermula 10 pagi hingga 12.30 tengah hari, sebanyak 79 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya melibatkan 63 kesalahan tiada lesen memandu, lapan kesalahan tiada lesen vokasional dan lapan kesalahan insurans tamat tempoh.

Beliau berkata JPJ juga menyita 23 kenderaan melibatkan 18 motosikal, empat lori dan sebuah kereta dalam operasi yang turut disertai Jabatan Imigresen.

Raja Nur Syuhaidah berkata warga asing berumur lingkungan 21 hingga 60 tahun yang ditahan itu, antara lain melakukan kesalahan seperti tiada dokumen perjalanan, salah guna pas dan tinggal lebih masa.

“Warga asing yang ditahan melibatkan seramai 11 warga India, 18 warga Myanmar, lima warga Indonesia, seorang warga Kemboja dan seorang warga Pakistan,” katanya dalam sidang media berkenaan operasi itu hari ini.

Beliau berkata seramai 45 anggota JPJ Kuala Lumpur dan sembilan anggota Jabatan Imigresen terlibat dalam operasi kali ini.

Sementara itu, Raja Nur Syuhaidah menasihatkan warga tempatan untuk tidak menyewa atau memajakkan kenderaan persendirian mereka kepada warga asing kerana kesalahan berkenaan boleh dihukum di bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1964.

“Ini kerana menurut pemeriksaan JPJ terhadap kenderaan yang dipandu oleh warga asing didapati kebanyakannya dimiliki oleh rakyat tempatan,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1104
Kongsi :
Previous post Kutip botol arak, pasang kain rentang sebagai teguran
Next post 250 orang Melaka bakal pecah rekod masak asam pedas
Ubah saiz-+=