Kutip botol arak, pasang kain rentang sebagai teguran

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

JASIN 21 Julai – Ketika isu menghina agama dimainkan oleh sesetengah individu sejak kebelakangan ini, berbeza pula ceritanya dengan kisah seorang lelaki dari Taman Jasin Bistari ini.

Daripada bertindak menghentam atau membuat kenyataan jelik terhadap pihak tertentu di media sosial, Syed Mohd Aizuddin Tuan Sembak memilih untuk membersih dan mengutip botol minuman keras yang dibuang merata-rata oleh  individu tidak bertanggungjawab di  kawasan tempat tinggalnya dekat Taman Perumahan Penjawat Awam Seksyen 5, Jasin Bestari.

Tidak hanya membersih botol minuman keras yang dibuang, beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Syed, 30, mengambil inisiatif sendiri memasang kain rentang ‘Jangan minum arak di sini! Kawasan ini majoriti Melayu, sila hormat’ bagi menegur pelaku yang berbuat demikian.

“Bukan sekali ini saya mengutip botol arak, malah minggu lepas beberapa botol lagi turut dikutip.

“Mereka melakukan perbuatan ini pada waktu malam dan pernah jam 3 pagi, bila dah mabuk mereka buang botol arak merata-rata,” katanya.

BEKAS botol minuman keras yang dikutip. Foto Norizan Muhid

Beliau yang juga aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berharap pihak berkuasa berkaitan dapat mewujudkan undang-undang khas bagi melarang  minum arak di tempat awam.

Menurutnya, langkah ini dapat menjaga keharmonian masyarakat dan menghindarkan berlakunya perkara tidak diingini.

“Penjualan dan perbuatan minum arak tidak boleh dilakukan secara terbuka.

” Peraturan sebegini mudah untuk dikuatkuasakan dan saya percaya rakyat pasti akan menyokong keputusan tersebut,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1335
Kongsi :
Previous post AKCC Junior Development beri peluang anak muda pelajari golf
Next post Operasi pemandu warga asing: 36 individu ditahan di ibu kota
Ubah saiz-+=