AKCC Junior Development beri peluang anak muda pelajari golf

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 21 Julai – Ayer Keroh Country Club (AKCC) Junior Development Programme diwujudkan bagi memberi peluang kepada anak-anak muda mengenali sukan golf dengan lebih mendalam.

Pengurus Besar AKCC, Rizman Ghazali berkata program itu juga membolehkan pemain muda mengatur aktiviti sendiri di AKCC selain memberi peluang kepada mereka untuk memahami sukan itu.

“Kebanyakan ibu bapa hanya fokus menjadi pemain professional untuk menang pertandingan, tapi saya lihat penting juga untuk memberi pendedahan kepada anak-anak muda ini.

“Matlamat kami supaya mereka dapat menyusun atur aktiviti sendiri di AKCC selain memberi ilmu berkenaan penjagaan padang, pengurusan, pengurusan pertandingan golf dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Golf Junior MSSNM dan Pelancaran AKCC Junior Development Programme di Dewan Chenderawasih AKCC di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi AKCC, Datuk Rahmad Marian.

Pengurus Besar Ayer Keroh Country Club Berhad, Rizman Ghazali. Foto Iqmal Haqim Rosman

Hadir sama pemangku Presiden Kelab Golf Melaka, Datuk Wira A.S Khamis; Kapten Pasukan AKCC, Datuk Wira Soh Chin Ann dan lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Rizman berkata pihaknya telah melantik seorang Junior Kapten berusia 18 tahun dan dua Jawatankuasa berusia bawah 18 tahun melibatkan pemain wanita dan lelaki.

“Untuk menjadi ahli junior AKCC sangat mudah iaitu bayaran sebanyak RM250 setahun tanpa bayaran bulanan.

“Jadi bila nak main golf di sini mereka hanya bayar buggy (kenderaan) sahaja tidak perlu bayar permainan.

“Inisiatif ini untuk menyokong pembangunan junior ini yang memberi peluang kepada mereka untuk bermain di kelab-kelab golf yang lebih murah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1681
Kongsi :
Previous post Saksi sahkan Bella berusia 15 tahun pada tahun 2020
Next post Kutip botol arak, pasang kain rentang sebagai teguran
Ubah saiz-+=