Operasi Pusat Kawalan Trafik Udara KL dipindah ke Sepang
PUTRAJAYA 2 Sept – Pemindahan operasi Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) ke Sepang dari Subang semalam melakar sejarah yang tersendiri buat industri penerbangan negara, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Beliau berkata langkah itu menyaksikan penstrukturan semula ruang udara negara daripada tujuh kepada 14 sektor yang dilengkapi dengan penambahan laluan udara baharu serta pelepasan dan ketibaan yang menepati piawaian ditetapkan.
“Kesemua penambahbaikan ini bertujuan menjana pulangan yang menguntungkan kepada negara menerusi pengembangan dalam industri penerbangan,” menurutnya dalam kenyataan semalam.
Wee berkata pemindahan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk menyeragam dan mematuhi piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dalam reka bentuk Maklumat Penerbangan Ruang Udara Kuala Lumpur (KL FIR).
“Pembinaan KL FIR baharu ini akan membolehkan lebih banyak pesawat mendarat pada waktu puncak atau slot premium, seterusnya meningkatkan kapasiti pendaratan di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) daripada 78 kepada 108 pesawat sejam, iaitu antara yang tertinggi di dunia,” katanya.
Beliau juga berkata reka bentuk semula ruang udara itu juga akan membolehkan lebih banyak pergerakan pesawat setiap jam dengan memanfaatkan sepenuhnya tiga landasan yang sedia ada di KLIA secara serentak.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.