Tangguh operasi pasar malam demi keselamatan rakyat Melaka

Masa Membaca:56 Saat

AYER KEROH 2 Sept – Kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menangguhkan kebenaran operasi pasar malam dan pasar minggu demi keselamatan rakyat negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, walaupun operasi tersebut telah dibenarkan bagi negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun Mesyuarat Jawatankuasa Khas COVID-19 Negeri Melaka memutuskan penangguhan itu sehingga semua peniaga dan pekerja menerima dos lengkap vaksin COVID-19.

“Tindakan ini diambil bertujuan untuk memastikan keselamatan orang ramai, dan pada masa sama selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk mencapai sasaran imuniti kelompok menjelang Oktober nanti,” katanya ketika bersiaran di Melaka FM dalam segmen Bicara Ketua Menteri, hari ini.

Sulaiman berkata, bagi mempercepat pemberian vaksin kepada peniaga dan peruncit di negeri ini, kerajaan negeri sedang giat melaksanakan program pemberian vaksin menerusi Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC), selain kerjasama swasta bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) yang telah bermula pada bulan lalu.

“Jawatankuasa Khas COVID-19 Negeri Melaka akan membuat penilaian secepat mungkin bagi memastikan operasi perniagaan pasar malam dan pasar minggu dapat dijalankan secepat yang mungkin jika menepati syarat yang ditetapkan,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

502
Kongsi :
Previous post Operasi Pusat Kawalan Trafik Udara KL dipindah ke Sepang
Next post Empangan penuh, tiada catuan air di Melaka sehingga hujung tahun
Ubah saiz-+=