Orang ada keperluan wajib vaksin – Mufti

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 8 Julai – Pelaksanaan suntikan vaksin COVID-19 bertepatan dengan tuntutan syariat iaitu menjaga nyawa dan keselamatan diri.

Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, pandangan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-10 yang bersidang pada 3 Disember lalu memutuskan pengambilan vaksin pada peringkat awal adalah harus.

“Maksudnya jika ambil atau tidak suntikan vaksin, tidak mengapa. Tapi bagi orang yang positif COVID-19, perlu rentas negara dan urusan bekerja wajib mengambil vaksin.

“Katakan guru sekolah, macam mana dia nak mengajar anak-anak murid di sekolah kalau tidak ambil vaksin, jadi ia wajib kepada kumpulan guru.

“Contoh lain, kumpulan imam dan bilal di masjid yang bertugas dan berdepan dengan orang ramai, jadi untuk melindungi diri dan orang lain, maka mereka wajib untuk mengambil vaksin,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Ujar beliau, individu yang perlu bertugas kepada masyarakat wajib mengambil vaksin berdasarkan nasihat dan keperluan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pakar perubatan.

Justeru, beliau menyeru masyarakat supaya tidak terpengaruh dengan kumpulan antivaksin.

“Sewajarnya masyarakat tidak kira apa agama, bangsa atau kepercayaan wajib untuk mengambil vaksin.

“Ini sebagai satu ikhtiar bagi membentuk daya imunisasi badan kita sepanjang penularan COVID-19.

“Sudah pasti ia menjadi satu peraturan kepada pergerakan antarabangsa nanti seperti menunaikan umrah, merentas negeri, merentas negara dan sebagainya,” katanya.

Ujarnya vaksin adalah satu keperluan yang dipanggil kaedah fiqh, ‘tidak sempurna yang wajib kecuali dengan sesuatu perkara’, maka perkara itu yang tidak wajib akan menjadi wajib.

“Saya gambarkan begini, jika seseorang hendak pergi haji dan haji itu wajib, tetapi syarat untuk pergi haji setiap orang kena buktikan pengambilan vaksin.

“Maka pengambilan vaksin itu menjadi satu kewajipan yang mesti dipenuhi, kalau tidak dia tidak dapat menunaikan kewajipan fardu haji,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

368
Kongsi :
Previous post COVID: Lapan kematian termasuk wanita dari kluster varian Delta
Next post Kecoh video lama ditular semula
Ubah saiz-+=