Kecoh video lama ditular semula

0
1359
TANGKAP layar video lama ditular semula oleh pemilik akaun Facebook dikenali Edward Likes.

BANDARAYA MELAKA 9 Julai – Polis mengesan pemilik akaun menggunakan nama Edward Likes di laman Facebook susulan video lama dimuat naik di laman sosial itu, kelmarin.

Video berdurasi 28 saat itu memaparkan sekumpulan pekerja memakai pelitup muka dan kepala melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit.

Rakaman itu mendapat 83,000 tontonan dan 3,695 perkongsian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, anggotanya di Balai Polis Tiang Dua mengesan video itu yang mendakwa sekumpulan pekerja melarikan diri daripada ditahan polis.

Katanya, berikutan itu pihaknya menjalankan siasatan terhadap sebuah kilang di Serkam yang didakwa menjadi lokasi video tular terbabit.

“Siasatan mendapati tiada kejadian sebagaimana video tular dan pengurus kilang terbabit mengesahkan kejadian itu adalah video lama yang berlaku pada 3 September 2019.

“Ketika kejadian itu semua pekerja diarahkan keluar daripada kilang akibat kebocoran gas amonia dan pergi ke kawasan selamat.

“Semasa pergerakan keluar terdapat beberapa pekerja kilang terbabit berlari sambil merakamnya sebagaimana video tular itu,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berikutan itu pihaknya mengesan pemilik akaun yang menyebarkan video berkenaan untuk tindakan lanjut.

Katanya, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang rakaman atau kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.