PM, jemaah menteri kekal jalan kuasa eksekutif persekutuan

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

KUALA LUMPUR 9 Julai – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Jemaah Menteri sedia ada masih kekal untuk terus menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan, kata Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

Menerusi kenyataan semalam, beliau menjelaskan buat masa ini, kerajaan tidak mempunyai apa-apa fakta jelas yang menunjukkan perdana menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

“Berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat hendaklah ditentukan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat sendiri dan bukan melalui kenyataan oleh sesuatu parti politik ataupun mana-mana pemimpin parti politik,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi awal pagi semalam.

Menurut Peguam Negara, kenyataan itu merupakan kenyataan daripada suatu parti komponen yang membentuk Kerajaan sedia ada yang telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 43(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang berlangsung secara maya selama lebih empat jam malam tadi memutuskan untuk menarik balik dan menamatkan sokongan serta-merta terhadap Muhyiddin.

Ahmad Zahid berkata keputusan itu dicapai susulan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memenuhi tujuh prasyarat yang ditetapkan UMNO sewaktu Muhyiddin menjadi Perdana Menteri pada 1 Mac 2020.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

353
Kongsi :
Previous post Kecoh video lama ditular semula
Next post Olimpik Tokyo: Laluan mudah buat Zii Jia
Ubah saiz-+=