Orang ramai ‘serbu’ UTC Melaka

Masa Membaca:54 Saat

BANDARAYA MELAKA 15 Jun – Pusat Transformasi Bandar (UTC)  di Jalan Hang Tuah di sini yang mula beroperasi hari ini, menerima kunjungan luar biasa daripada orang ramai yang ingin melakukan pelbagai transaksi di situ.

Eksekutif Korporat dan Khidmat Pelanggan UTC, Abu Hurairah Hashim berkata, keadaan bagaimanapun adalah terkawal dengan orang ramai perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata pihaknya telah mewujudkan garis panduan yang ketat serta tanda penjarakan sosial bagi mengawal pergerakan orang ramai yang berkunjung ke situ.

“Penggunaan kad giliran berdasarkan had pengunjung di premis setiap agensi juga telah ditetapkan dan diletakkan di kaunter saringan bagi memudahkan pergerakan orang ramai.

“Bagi wanita mengandung, warga emas dan Orang Kelainan Upaya juga diberikan kebenaran khas dan tidak perlu beratur malah boleh terus ke kaunter saringan yang terletak hadapan pintu masuk UTC,” katanya.

Seorang pengunjung, Norhaslinda Jumaat, 45, berkata, beliau berpuas hati dengan tahap perkhidmatan yang disediakan di pusat itu pada hari ini.

“Saya menunggu pun tidaklah terlalu lama, dalam 12 minit sahaja bagi mendapatkan giliran untuk berurusan,” katanya.

Views:

878
Kongsi :
Previous post Sungai Kesang habitat buaya
Next post Kerajaan negeri kesal pemaju Taman Seri Duyong Seksyen 1 lepas tangan
Ubah saiz-+=