Padah merempit dan lumba haram, 92 remaja ditahan di Ipoh

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

IPOH, 1 Mei – Polis Perak menahan 92 remaja atas kesalahan lumba haram dalam Op Selamat yang memberi tumpuan kepada samseng jalanan yang dijalankan di beberapa lokasi panas ‘mat rempit’ awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hasan berkata mereka yang ditahan melibatkan 89 lelaki dan tiga perempuan berumur antara 15 hingga 26 tahun dalam operasi bermula pukul 1 pagi di kawasan sekitar Station 18 di Pasir Puteh di sini.

“Pihak polis menjalankan operasi itu hasil aduan dan maklumat orang awam berkaitan motosikal yang berlumba dan menunggang secara berbahaya. Kami menjalankan operasi bagi mengurangkan kegiatan samseng jalanan membabitkan kumpulan bermotosikal yang sering mendatangkan kegusaran kepada masyarakat setempat.

“Polis turut menyita 14 motosikal atas pelbagai kesalahan antaranya pengubahsuaian kenderaan dan pemalsuan nombor pendaftaran kenderaan,” katanya pada sidang media Op Selamat hari ini.

Jelasnya, selain itu, tujuh individu ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dalam keadaan berbahaya manakala dua orang positif dadah selepas ujian air kencing oleh pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, sebanyak 241 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu dan melanggar lampu isyarat melibatkan pelajar sekolah dan penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT).- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1449
Kongsi :
Previous post Iktiraf pekerja, beri rehat secukupnya untuk tingkat produktiviti – MPC
Next post Anggota polis trafik maut, enam ahli keluarga cedera
Ubah saiz-+=