Pameran artifak Hang Tuah Mei ini
AYER KEROH 12 Januari – Pameran besar-besaran artifak dan manuskrip hasil penemuan baharu berkaitan Laksamana Hang Tuah amat penting bagi meluruskan semula fakta sejarah yang dibengkok dan dipesongkan oleh penjajah.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, artifak berkenaan adalah amat berharga bukan sahaja untuk Negeri Melaka tetapi seluruh rakyat Malaysia.
Menurut Ketua Menteri, pameran itu akan dilaksanakan oleh Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17 juga dijangka berangkat ke Negeri Melaka bagi merasmikannya Mei nanti.
“Antara artifak akan kita pamerkan adalah bagaimana Hang Tuah berjaya menjinakkan 30 kuda Maharaja India dan melatih bakal panglima dan tentera Maharaja India pada kurun ke-15.
“Seperti mana saya tegaskan ada sebuah filem menceritakan mengenai legenda Hang Tuah di bumi India. Filem ini juga akan kita bawa balik untuk dipertontonkan kepada rakyat bagi meyakinkan bahawa Hang Tuah adalah tokoh kebanggaan rakyat Melaka dan Malaysia,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 YAB Ketua Menteri Melaka yang bertemakan ‘Bijak Memimpin, Berani Bertindak’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran,Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan barisan Exco Kerajaan Negeri.
Turut hadir, Timbalan Speaker DUN, Kerk Chee Yee; barisan Timbalan Exco; ketua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri serta persekutuan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.