
PANGGUNG BANGSAWAN MAHU JADI PENTAS SENI DAN BUDAYA DUNIA
BANDARAYA MELAKA 6 Mei – Selepas berjaya menganjurkan 40 program sepanjang tahun lalu, Panggung Bangsawan Melaka kini lebih agresif dan mahu menjadi sebagai antara pentas seni serta budaya tersohor dunia.
Eksekutif Projek MCORP Corporate Services Sdn Bhd, Noor Afifi Mohamed berkata, selain itu Panggung Bangsawan Melaka juga menyasarkan untuk menganjurkan 100 aktiviti kesenian dan budaya sehingga hujung tahun nanti.
Katanya, hasrat itu selari dengan penambahbaikan fasiliti termasuk sistem audio dan pencahayaan baharu menerusi kerja-kerja naik taraf dilaksanakan tahun lalu.
“Panggung Bangsawan Melaka sebelum ini dikenali sebagai panggung ‘cathay’ kini menjadi pentas pelbagai acara seni seperti konsert, teater, festival kesenian dan pertandingan memasak termasuk program bertaraf antarabangsa termasuk melibatkan penerbitan dari China.
“Justeru kami membuka peluang kepada produser luar untuk menjalin kerjasama dan menjadikan panggung ini sebagai platform pementasan mereka.
“Jika ada mana-mana produser berminat kami akan berikan yang terbaik untuk mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Panggung Bangsawan di sini, semalam.
Noor Afifi berkata, pelbagai program baharu bakal diadakan pada setiap minggu bagi mempromosikan Panggung Bangsawan Melaka kepada orang ramai.
“Kami harap usaha ini dapat memperkenalkan lagi panggung ini kepada ramai pihak, bukan hanya di Melaka malah di luar negeri ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.