Pantai Pengkalan Balak dan Padang Kemunting sunyi

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

TANJUNG BIDARA 26 Feb – Sunyi dan sepi. Itulah keadaan di pantai peranginan popular Pengkalan Balak dan Padang Kemunting, di sini sejak dua minggu lalu akibat peningkatan kes COVID-19.

Sejak dua minggu lalu, hujung minggu di pantai berkenaan tidak lagi dipenuhi deretan kenderaan pengunjung, terutama dari luar Melaka malah warung makanan yang sebelum ini dipenuhi pelanggan juga kosong.

Peningkatan kes COVID-19 sejak beberapa minggu lalu dikatakan menjadi faktor utama kemerosotan pengunjung yang sebelum ini menjadikan pantai yang indah dan bersih sebagai destinasi untuk beriadah bersama-sama anggota keluarga masing-masing.

Peniaga warung makanan, Mohd Hanafiah Rustam, 60, berkata warungnya mengalami penurunan pelanggan sejak kes COVID-19 meningkat dua minggu lalu.

“Lazimnya, setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, warung saya dipenuhi pelanggan untuk menikmati sarapan dan makan tengah hari tetapi sejak dua minggu lalu, pelanggan boleh dibilang dengan jari.

“Keadaan ini sama seperti situasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada Jun tahun lalu yang walaupun tiada ‘total lock down,’ jumlah pengunjung pantai, terutama pelancong dari luar Melaka jatuh mendadak,” katanya.

KEADAAN di pantai peranginan Padang Kemunting, Masjid Tanah yang dibanjiri pengunjung sebelum kes COVID-19 meningkat. Foto DIN AHMAD

Siti Rahmah Md Kassim, 48, yang berniaga minuman berkata, peningkatan kes COVID-19 menyebabkan warungnya terpaksa ditutup sejak dua minggu lalu.

“Saya dan peniaga lain amat bergantung pada pengunjung hujung minggu manakala hari lain, saya tidak berniaga tetapi apabila kes COVID-19 meningkat, saya terpaksa tutup kedai kerana kalau berniaga pun, tidak balik modal,” katanya.

Sementara itu, pengunjung dari Putrajaya, Sulaiman Abdul Kadir, 34, berkata dia dan isteri serta dua anaknya mengambil kesempatan cuti hujung minggu hari ini dan esok untuk beriadah di pantai Padang Kemunting.

“Saya pernah dijangkiti virus COVID-19 tahun lalu walaupun sudah lengkap dua dos vaksin dan kali ini saya yakin kalau kena sekali lagi, ia tidak seteruk dahulu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2167
Kongsi :
Previous post PRN Johor: DUN Tiram, Kempas saksikan persaingan tujuh penjuru
Next post PRN Johor: Proses penamaan calon lancar, 239 calon bertanding
Ubah saiz-+=