‘Paramedik’ cilik belajar teknik CPR

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 8 Mei – Ibu bapa dan kanak-kanak antara yang turut memanfaatkan peluang mempelajari asas bantuan kecemasan jantung dan pernafasan atau ‘cardiopulmonary resuscitation’ (CPR) pada Program CPR Awareness di Zon Bebas Kenderaan, Banda Hilir, baru-baru ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, program dijayakan dengan St John Ambulance Malaysia itu bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan orang ramai berhubung teknik CPR yang betul selain didedahkan dengan cara bantuan awal kecemasan yang lain.

Katanya, program itu juga bertujuan untuk mendedahkan mengenai peranan dan tanggungjawab Sukarelawan Paramedik Komuniti selain mengajak orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat.

“Program dianjurkan menarik minat orang ramai khusus dalam kalangan ibu bapa yang singgah bersama anak dan ahli keluarga. Paling menarik kanak-kanak turut mengambil bahagian dan diajar mengenai teknik CPR dengan tunjuk ajar daripada pengamal perubatan bertauliah.

“Ada kanak-kanak seawal usia tujuh tahun berminat mempelajari teknik CPR dan ibu bapa mereka juga sangat menggalakkan anak mereka lihat dan belajar sendiri. Sambil bercuti bersama keluarga, secara tidak langsung mereka turut mendapat ilmu tentang teknik CPR dan membuat pemeriksaan kesihatan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Shadan, inisiatif itu memberi kesedaran kepada pengunjung khususnya rakyat Melaka berhubung cara untuk mengendalikan pesakit yang memerlukan bantuan di Zon Bebas Kenderaan.

“Ilmu yang dikongsi bukan sahaja berguna ketika berada di Zon Bebas Kenderaan, sebaliknya di mana-mana sahaja lokasi yang berlaku kecemasan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

47
Kongsi :
Previous post Polis kenal pasti pemilik akaun media sosial berhubung kejadian simbah asid
Next post Pupuk minat orang muda belajar tulisan jawi, seni khat
Ubah saiz-+=