Pasangan kekasih mengaku tidak bersalah larikan bayi dari rumah pengasuh
Remaja perempuan berusia 14 tahun dan Muhammad Azrin Budimaeng, 18, yang bekerja sambilan di sebuah restoran, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurulrasyidah Mohd Akit.
Mengikut kertas pertuduhan, remaja itu dan Muhammad Azrin berniat secara bersama melarikan bayi tersebut dari sebuah rumah di Pangsapuri Idaman Taman Pauh Perai, di sini, kira-kira jam 5.30 petang, 23 Ogos lalu.
Mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali tidak menawarkan sebarang ikat jamin memandangkan ia adalah kesalahan yang tidak boleh diikat jamin serta mengambil kira keseriusan kesalahan itu.
“Bagaimanapun, sebagai alternatif, sekiranya mahkamah memutuskan untuk membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin, saya memohon jaminan tinggi dengan syarat yang ketat,” katanya.
Peguam Fatin Nabila Hussin, yang mewakili kedua-dua tertuduh, memohon mahkamah membenarkan ikat jamin atas alasan remaja perempuan itu masih muda, merupakan anak bongsu daripada tiga beradik, dan kini tinggal bersama datuk dan neneknya yang masing-masing berusia 75 dan 68 tahun.
Sementara itu, Muhammad Azrin merupakan anak kedua daripada lima beradik dan terpaksa bekerja dua hari seminggu di sebuah restoran dengan pendapatan RM50 sehari untuk membantu keluarganya memandangkan ibunya sakit dan bapanya tidak mempunyai pekerjaan sepenuh masa.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Okt depan untuk serahan dokumen.
Bagaimanapun, ibu atau ayah remaja itu sahaja dibenarkan sebagai penjamin.
Bercakap di luar mahkamah, Fatin Nabila berkata bapa remaja perempuan itu bersetuju menjadi penjamin namun tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini atas urusan yang mendesak.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.