Pasar malam ‘bebas karbon’ Semabok beroperasi Mei depan

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

DUYONG 18 April – Pasar Malam Semabok yang dipilih sebagai lokasi kedua dalam Program Transformasi Pasar Malam (PTPM) dijangka beroperasi bulan depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, ia merupakan lokasi kedua PTPM yang dinaik taraf selepas Pasar Malam Taman Seri Duyong.

Katanya, hasil transformasi itu, 130 peniaga pasar malam berkenaan bakal menerima kemudahan lebih kondusif, termasuklah dibekalkan suis elektrik dan tidak lagi perlu bergantung kepada penggunaan ‘generator’.

Jelasnya yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, pendekatan itu sekali gus merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri ke arah bandaraya bebas karbon.

“Ia sepatutnya boleh beroperasi pada 15 Mac lalu, namun atas sebab-sebab tertentu ia terpaksa dilanjutkan sehingga 15 Mei depan. Setakat ini ia hampir 70 peratus disiapkan.

“Pasar malam ini dinaik taraf dengan persekitaran yang selesa dengan keceriaan yang lebih menarik seperti hiasan limpahan lampu bagi menarik pengunjung yang datang.

“Ia juga turut dilengkapi dengan kemudahan pentas bagi kegunaan persembahan dan kita akan pastikan kawasan ini akan digunakan sepenuhnya bagi tujuan aktiviti riadah selain dijadikan sebagai kawasan mencari rezeki buat peniaga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Moreh Bersama Adun Duyong di Kompleks Japerun Duyong, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Pada majlis itu, kira- kira 200 pemimpin setempat, wakil agensi kerajaan dan pengamal media diraikan.

Mengulas lanjut, Mohd Noor Helmy turut menyarankan operasi pasar malam itu dilanjutkan kepada empat kali seminggu berbanding hanya sekali seminggu sebelum ini.

“Kita sudah minta penganjur supaya pasar malam ini bukan sahaja beroperasi pada Rabu, tetapi perlu diteruskan pada Jumaat, Sabtu dan Ahad.

“Kita sudah berbelanja hampir RM500,000 hasil peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), jadi kita perlu memastikan tapak perniagaan ini memberi manfaat bukan sahaja kepada peniaga, bahkan memberi pulangan balik kepada masyarakat.

“Saya juga sudah memaklumkan perkara ini kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman dan telah menerima maklum balas positif, malah beliau menyatakan akan bersama mempromosikan usaha ini seperti mana yang dipernah dilakukannya di Leypark Station Dataran Ayer Keroh sebelum ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1599
Kongsi :
Previous post Pelancongan Melaka ‘tidak cuti’ Aidilfitri ini
Next post Ajal langgar kerbau
Ubah saiz-+=