Paya Lebar produk Tahun Melawat Melaka 2024

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER LIMAU 13 Januari – Produk ekopelancongan di Paya Lebar bakal menjadi antara tarikan sepanjang kempen Tahun Melawat Melaka 2024 nanti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pembangunan fasa satu projek berkenaan yang siap sepenuhnya Disember lalu dianggap amat berjaya dalam memberikan wajah baharu kepada lokasi ekopelancongan itu.

Berikutan itu beliau yakin pembangunan fasa dua projek itu nanti akan terus memacu aktiviti eko pelancongan di Paya Lebar.

“Menerusi fasa kedua antara yang akan dibangunkan adalah rumah kedai, tapak perkhemahan dan memanjangkan lagi laluan pejalan kaki yang menyusuri sungai.

“Ketika ini Kerajaan Negeri dalam proses membuat permohonan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk mendapatkan peruntukan bagi pelaksanaan fasa kedua dianggarkan membabitkan kos RM3.138 juta,” katanya.

photo1673517105
HAMEED (kanan) bersama Badaruddin (kiri) dan Saifuddin (tengah) melawat laluan pejalan kaki di tapak ekopelancongan Paya Lebar. Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Jeti Nelayan Kampung Paya Lebar, di sini, semalam.

Hadir sama pada lawatan itu Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Badaruddin Mohd Kassim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) TPr. Saifuddin Abdul Karim.

Hameed berkata, fasa satu membabitkan kerja menaik taraf empat jeti utama dan membina laluan pejalan kaki menelan kos RM2.6 juta daripada MOTAC.

Jelasnya antara lokasi terbabit adalah jeti di Pengkalan Nelayan Paya Lebar, Jeti Sabak Arang, Jeti Taman Lokan dan Jeti Kota Simpang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3747
Kongsi :
Previous post PLUS tambah 12 lorong RFID, kurangkan kesesakan di Plaza Tol – Nanta
Next post Teroka hasil baharu untuk kesejahteraan rakyat
Ubah saiz-+=