PBT diminta mudahkan urusan pelabur – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 11 September – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta supaya mempermudahkan urusan para pelabur yang memilih Melaka sebagai tapak operasi mereka.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, perkara itu penting bagi menjayakan hasrat Kerajaan Negeri untuk meningkatkan pendapatan dan merancakkan lagi ekonomi Melaka.

Namun tegas beliau, pelabur perlu juga perlu mematuhi segala peraturan dan kaedah ditetapkan jika mahu urusan mereka dipermudahkan.

“Semua PBT sentiasa diingatkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh untuk permudahkan urusan terutama membabitkan para pelabur yang datang untuk melabur di negeri ini.

“Bagaimanapun setelah segala peraturan dan kaedah dipatuhi barulah kita boleh permudahkan urusan mereka, kita juga tidak mahu peraturan itu disalah ertikan.

“Tetapi saya yakin dan percaya semua PBT di negeri ini faham hasrat Ketua Menteri kita dalam memastikan Melaka ini menjadi sebuah negeri mesra pelabur,” katanya ketika ditemui selepas Sesi Townhall Bajet 2024 Negeri Melaka Bersama YAB Ketua Menteri Melaka di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai keputusan sebuah syarikat yang menarik diri daripada melabur di sebuah negeri berikutan kerenah birokrasi didakwa daripada PBT.

Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, Kerajaan Negeri sentiasa bersedia untuk mendengar permasalahan dihadapi pelabur yang masuk ke negeri ini agar ia dapat diselesaikan secara bersama.

“Insya-Allah kita akan pastikan PBT sentiasa mendokong hasrat Kerajaan Negeri, kalau ada pelabur terlibat dengan masalah yang berlarutan, boleh terus berjumpa saya atau PBT terlibat,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

846
Kongsi :
Previous post Mohon bina lebih banyak PPR menerusi Bajet 2024
Next post Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat 2023 berkuat kuasa esok
Ubah saiz-+=