Pegawai JPJ dituduh terima suapan bulanan

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 5 Julai- Pembantu penguat kuasa kanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas 12 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM8,500 daripada seorang pengurus syarikat pengangkutan.

Tertuduh, Ahmad Jamil Md Saru, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim Elesebet Paya wan.

Mengikut pertuduhan satu hingga 10, tertuduh didakwa menerima suatu benda yang berharga iaitu wang secara keseluruhan berjumlah RM5,000 tanpa balasan daripada seorang individu lelaki yang juga pengurus syarikat yang mana dia mengetahui premis terbabit mempunyai hubungan dengan kerja rasmi dirinya.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Maybank Malaysia Berhad Cawangan Merlimau, Jasin antara 28 April 2020 hingga 3 Mac 2021 justeru tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh yang turut berdepan dengan dua pertuduhan dibawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 didakwa secara rasuah menerima suatu suapan iaitu wang berjumlah RM3,500 secara pindahan atas talian daripada syarikat sama sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan keatas lori-lori milik syarikat terbabit dibawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali gandan jumlah atau nilai suapan atau RM10, 000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irwan Shah Abdul Samat, mencadangkan jumlah jaminan RM4,500 dengan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain perlu melapor diri ke pejabat SPRM Melaka, Alai setiap bulan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu kepada mahkamah agar jumlah itu dikurangkan dengan alasan mempunyai tanggungan dua anak termasuk seorang orang kurang upaya (OKU).

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti yang dipohon Timbalan Pendakwa Raya selain menetapkan 15 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1414
Kongsi :
Previous post Haji: Pujian Arab Saudi, penghargaan sangat besar buat Malaysia – Idris
Next post Banjir di Baling, mayat dua sekeluarga ditemukan berpelukan
Ubah saiz-+=