Pegawai kastam didakwa tidak serah rampasan sisik tenggiling kepada Perhilitan

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

SHAH ALAM, 31 Mei – Seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan tidak menyerahkan rampasan sisik tenggiling kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada 2019.

Ahmad Hilmi Ghazali, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Dia didakwa telah mengarahkan seorang Pembantu Penguasa Kanan JKDM melupuskan sisik tenggiling spesis Genus Manis SPP daripada Stor Penguatkuasaan Pengkalan Marin Pelabuhan Klang Utara, pada September 2019 hingga Disember 2019.

Menurut pertuduhan, sisik tenggiling itu adalah barang kes rampasan JKDM dan perlu diserahkan kepada Jabatan Perhilitan sebagai pihak berkuasa pengurusan yang dilantik di bawah seksyen 6(1) Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686).

Pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun, sebatan dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Azreen Wan Zaid manakala Ahmad Hilmi diwakili peguam Nor Azri Mohd Arif.

Wan Azreen mencadangkan mahkamah mengenakan jaminan antara RM30,000 hingga RM50,000 dengan mengambil kira nilai barang kes berkenaan yang mencecah jutaan ringgit di pasaran gelap dan tertuduh perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah selain perlu melapor diri ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga kes selesai.

Nor Azri memohon mahkamah mengenakan jumlah jaminan yang tidak berbentuk punitif atas sebab Ahmad Hilmi mempunyai komitmen yang tinggi selain perlu menanggung dua orang isteri dan empat orang anak yang masih kecil.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud membenarkan Ahmad Hilmi diikat jamin sebanyak RM20,000 dan seorang penjamin selain perlu melapor diri ke Pejabat SPRM setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 12 Julai untuk sebutan semula kes.  – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

249
Kongsi :
Previous post El Nino: Pengeluaran durian berkurangan, pekebun jangka naik harga
Next post Belajar seni origami di PERZIM
Ubah saiz-+=