Peguam Najib bantah Hakim Mahkamah Rayuan anggotai panel dengar semakan

PUTRAJAYA, 19 Jan – Peguam utama Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan prosiding permohonan bekas perdana menteri itu untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu yang mengekalkan sabitan serta hukuman kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dengan membantah panel hakim hari ini.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membantah hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais menganggotai panel hakim yang bersidang di Mahkamah Persekutuan bagi mendengar permohonan semakan itu.

Peguam itu berkata Abu Bakar tidak seharusnya menganggotai panel yang mendengar permohonan tersebut dan mahu hakim itu menarik diri atas alasan hanya hakim Mahkamah Persekutuan yang sepatutnya mendengar permohonan semakan itu.

Muhammad Shafee berkata mengikut Seksyen 74 Akta Mahkamah Kehakiman 1974, komposisi hakim Mahkamah Persekutuan mestilah terdiri daripada semua hakim Mahkamah Persekutuan.

“Ini bukan soal peribadi kerana saya mengenali hakim Abu Bakar sejak dalam perkhidmatan lagi,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram berkata hakim Mahkamah Rayuan dibenarkan bersidang di Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 122 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berhujah bahawa bantahan terhadap hakim perlu menunjukkan bahaya berlakunya berat sebelah.

Abu Bakar antara panel lima hakim yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli untuk mendengar permohonan semakan Najib itu.

Hakim lain dalam panel itu ialah hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan.

Najib sedang berusaha untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas dalam mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Sithambaran berhujah bahawa Ketua Hakim Negara telah memenuhi keperluan Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan dengan pemilihan Abu Bakar menganggotai panel hakim itu.

Usaha pihak pembelaan untuk menentukan anggota panel hakim, kata Sithambaram, adalah suatu yang “menghina”.

“Kami di sini tidak boleh memberitahu mahkamah bagaimana menentukan anggota panel. Itu suatu yang menghina,” kata Sithambaram.

Beliau berkata pihak pembelaan tidak sepatutnya mendapatkan sebarang layanan istimewa berhubung prosiding itu.

Sementara itu, Muhammad Shafee berhujah bahawa Tun Tengku Maimun tidak menyatakan sebab mengapa Abu Bakar dipilih menganggotai panel hakim itu.

Peguam itu berkata terdapat tujuh hakim Mahkamah Persekutuan pada masa ini yang boleh dipilih untuk menganggotai panel hakim hari ini.

“Terdapat beberapa lagi hakim yang boleh dipilih daripada tujuh hakim Mahkamah Persekutuan itu,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

488
Previous post Bantu lapor kesalahan lalu lintas sepanjang musim perayaan – Sulaiman
Next post Empat mengaku tidak bersalah kemuka tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya