Peka isu sampah sepanjang Deepavali – KM

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

LENDU 23 Oktober – Kerajaan Negeri mengingatkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan konsesi terlibat agar sentiasa peka dengan isu pengurusan sampah dan sisa pepejal sepanjang Deepavali.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, agensi terlibat perlu menjalankan kerja-kerja pengurusan sisa mengikut jadual ditetapkan agar isu masalah longgokan sampah tidak mendatangkan keresahan penduduk.

“Dalam mesyuarat saya yang terakhir lalu pun saya banyak kali maklumkan bahawa pada Deepavali ini mereka kena susun dan jalankan jadual pengangkutan mengangkut sampah dengan lebih teratur terutama dalam kawasan taman perumahan.

“Jangan disebabkan perayaan ini semua penjadualan kerja-kerja mengangkut sampah ini tergantung kerana ini akan menimbulkan keresahan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Majlis Perasmian Karnival Youth Career, Lendu International Arts Community dan Hari Terbuka Dewan Undangan Negeri (Dun) Lendu, di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, kemasukan pelancong yang dijangka meningkat menjelang musim perayaan akan mempengaruhi peningkatan sisa buangan di negeri ini yang mana ia memerlukan perhatian lebih mendalam.

“Menerusi pintu utama kita di Ayer Keroh, di Lipat Kajang, Alor Gajah, Kuala Sungai Baru serta beberapa lokasi lain juga akan mempengaruhi kadar kemasukan pelancong yang tinggi dari serata pintu masuk negeri.

“Jadi bila ramai yang datang, banyaklah juga sampah yang dihasilkan dan kita perlu jadi ini sebagai fokus utama dalam jadual pengurusan sampah yang lebih stategik, mereka perlu bersedia dalam masa 24 jam,” katanya.

Terdahulu pada karnival yang berlangsung itu, lebih 200 peluang pekerjaan ditawarkan melibatkan 15 majikan daripada pelbagai sektor, dan sesi temu duga antara majikan dan pencari kerja dijalankan secara fizikal.

Program itu turut dihadiri, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP Shanmugam, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Melaka, Khairul Adri Rosli, Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka, Abd Razak Omar serta tetamu lain.

Program Youth Career yang meliputi tiga segmen utama itu turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik ditawarkan membabitkan sesi jualan barangan kraftangan dan seni lukisan membabitkan penyertaan artis seni tempatan dan pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1432
Kongsi :
Previous post Mangsa banjir di Melaka meningkat kepada 57 orang
Next post Melaka perluas karnival kerjaya di setiap daerah
Ubah saiz-+=