Melaka perluas karnival kerjaya di setiap daerah

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

LENDU 23 Oktober – Penganjuran karnival kerjaya kekal diteruskan di negeri ini khususnya membabitkan di kawasan luar bandar bagi memenuhi kebolehpasaran anak muda dan seterusnya mengatasi isu pengangguran.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pelbagai penganjuran karnival kerjaya menerusi pelbagai agensi terutama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan diadakan mengikut daerah di Melaka setiap tahun.

Jelasnya ia bagi memastikan golongan pencari kerjaya terutama anak muda mampu ditawarkan dengan pelbagai peluang pekerjaan menerusi pelbagai penyertaan dari syarikat-syarikat terlibat dalam penganjuran berkenaan.

“Kebanyakkan belia menunggu-nunggu program yang diadakan seperti ini terutamanya mereka yang baharu menamatkan pengajian dan mencari pekerjaan.

“Ini merupakan kaedah yang kita laksanakan dalam konteks Keluarga Malaysia kerana tidak mengira kaum apa pun menjadi sebahagian tugas kita sebagai sebuah kerajaan bersama agensi-agensi lain termasuk industri untuk kita laksanakan sehabis baik dalam perkara ini.

“Program seperti ini dilaksanakan meluas dan akan dikekalkan sejak 2020 yang lalu di mana dari program besar yang dilaksanakan sehingga membabitkan pecahan-pecahan di kawasan pinggir bandar terus kekal dilaksanakan bagi menjamin masa depan anak muda yang terhindar daripada isu pengangguran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Majlis Perasmian Karnival Youth Career, Lendu International Arts Community dan Hari Terbuka Dewan Undangan Negeri (Dun) Lendu, di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini hari ini.

Program yang turut dihadiri, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP Shanmugam, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Melaka, Khairul Adri Rosli, Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka, Abd Razak Omar serta tetamu lain.

IMG_20221023_154315_810
MASJID TANAH 23 Oktober- Sekitar suasana Karnival Youth Career dan Hari Terbuka DUN Lendu di Kompleks Sukan Masjid Tanah. Foto Iqmal Haqim Rosman

Sementara itu, bercakap mengenai penganjuran program tersebut, Sulaiman berkata karnival itu telah menawarkan lebih 2,800 peluang pekerjaan melibatkan 15 majikan daripada pelbagai sektor.

Katanya, program itu juga menawarkan sesi temu duga antara majikan dan pencari kerja dijalankan secara fizikal bagi memastikan komunikasi dua hala secara terus dapat dicapai antara majikan dan pencari pekerjaan.

“Program Youth Career ini meliputi tiga segmen utama iaitu segmen sesi perkongsian bersama industri meliputi kemahiran teknikal dan kemahiran insaniah dan segmen persediaan serta penilaian dikendalikan pihak berkepakaran antaranya bimbingan penyediaan resume dan ujian kerjaya.

“Selain itu, pada segmen ketiga pula ia merupakan sesi penglibatan bersama industri serta majikan secara fizikal atau bersemuka meliputi sesi temu duga majikan dan penawaran penempatan pekerjaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2200
Kongsi :
Previous post Peka isu sampah sepanjang Deepavali – KM
Next post Ajal selepas makan malam
Ubah saiz-+=