Ajal selepas makan malam

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

ALOR GAJAH 23 Oktober – Remaja perempuan maut selepas motosikal dinaikinya bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kejadian di Jalan Kuala Sungai Baru, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa Christina Goh Siew Yi, 15, yang juga pembonceng motosikal maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah motosikal Honda ditunggang pemuda berusia 20 tahun dan Perodua Aruz.

Beliau berkata, sebelum kejadian mangsa bersama rakan lelaki yang dipercayai teman lelakinya menghala ke Kuala Sungai Baru selepas makan malam di Paya Mengkuang, manakala SUV dipandu lelaki 47 tahun dari arah bertentangan.

“Hasil siasatan dan keterangan daripada pemandu SUV, mendapati penunggang motosikal didakwa memotong kenderaan lain sebelum masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kenderaan dipandunya.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa maut dilokasi kejadian manakala rakan lelakinya yang parah dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kenderaan kini ditahan untuk dirujuk ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk tindakan lanjut.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga bagi proses pengebumian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6745
Kongsi :
Previous post Melaka perluas karnival kerjaya di setiap daerah
Next post Pejalan kaki maut dilanggar kereta
Ubah saiz-+=