Pejalan kaki maut dilanggar kereta

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Seorang pejalan kaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas dilanggar kereta di Jalan Banting-Kajang, Kajang dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu yang berlaku kira-kira 9 malam.

Katanya, siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki berumur 30-an menghala ke rumahnya di Taman Sri Langat, Kajang dari Kajang Sentral sebelum merempuh kedua-dua mangsa berusia 20-an yang sedang melintas jalan.

Beliau berkata kereta berkenaan turut merempuh beberapa kereta lain yang diletakkan di hadapan sebuah restoran di lokasi kejadian.

“Mangsa yang mengalami cedera parah telah disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Serdang manakala seorang lagi sedang menerima rawatan di Hospital Kajang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemandu kereta terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk menjalani saringan awal kandungan alkohol dan didapati positif di bawah pengaruh alkohol.

Mohd Zaid berkata pihaknya masih menjalankan siasatan punca sebenar kejadian dan lelaki berkenaan direman selama empat hari bermula hari ini bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran di daerah Kajang atau menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Mohd Feaisal Mokhtar menerusi talian 012-9454655 bagi membantu siasatan. — BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2874
Kongsi :
Previous post Ajal selepas makan malam
Next post Berusaha ‘tarik hati’ majikan baharu
Ubah saiz-+=