Pekerja asing huni penginapan daif, kotor

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

SUNGAI RAMBAI 30 Januari – Bukan sahaja daif malah kawasan sekitar asrama juga berada dalam keadaan kotor dan berbau.

Itu gambaran situasi penginapan menempatkan 66 warga asing yang bekerja di sebuah kilang perabot di Jalan Parit Perawas, di sini.

Malah turut difahamkan, premis yang menempatkan kesemua pekerja itu turut tidak mendapat kelulusan daripada agensi berkaitan kerana keadaannya yang tidak sesuai serta gagal mengikut ketetapan pihak berwajib.

Kesalahan itu dikesan menerusi Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 yang dijalan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Melaka, hari ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata, operasi itu dijalankan bagi mengesan majikan yang tidak menyediakan penginapan mengikut akta ditetapkan kepada pekerja mereka.

Beliau berkata, hasil serbuan dan pemeriksaan mendapati premis terbabit menyediakan 14 unit penginapan jenis rumah kampung kayu yang daif kepada pekerja asing yang digajikan tanpa sebarang perakuan penginapan.

“Perakuan penginapan ini adalah di bawah Seksyen 24 D Akta 446 dan semakan turut mendapati majikan juga belum membuat sebarang permohonan untuk mendapatkan perakuan terbabit.

“Antara pelanggaran yang dikesan adalah tidak menyediakan kemudahan minimum penginapan seperti tilam yang nipis dan tiada almari berkunci.

“Pemeriksaan dijalankan turut mendapati ruang penginapan yang menempatkan pekerja panas dan tiada pengudaraan, melebihi kapasiti dibenarkan, tandas dan ruang dapur yang amat kotor serta pendawaian elektrik yang tidak selamat,” katanya pada sidang media selepas mengetuai operasi berkenaan, yang turut dihadiri Pengarah JTK Melaka Naziyah Said.

Menurut Hee Sem, untuk kesalahan tersebut, JTK akan membuka kertas siasatan serta melakukan rakaman percakapan keatas pekerja dan majikan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Selain itu, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) turut mengeluarkan tiga kompaun selepas mendapati premis menjalankan perniagaan tanpa lesen, tidak menjaga kebersihan penginapan dan kilang.

“Pejabat Kesihatan Daerah Jasin yang turut menyertai operasi juga mengeluarkan tiga kompaun apabila mengesan jentik-jentik, terdapat bekas berpotensi untuk pembiakan serangga serta tandas yang kotor,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2820
Kongsi :
Previous post Melaka tubuh Jawatankuasa Khas Jenayah Siber
Next post Pencen RM1,698.13 hadiah terakhir untuk isteri, tiga anak
Ubah saiz-+=