Pekerja kilang maut kemalangan

0
2966
KEMALANGAN yang mengorbankan penunggang motosikal di Jalan Bukit Katil, di sini pagi tadi. Foto (ihsan pembaca)

BUKIT KATIL 2 Nov. – Pekerja kilang berusia 26 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh kereta dalam kemalangan di Jalan Bukit Katil, berhampiran Masjid Saidina Ali, di sini pagi tadi.

Dalam kemalangan pada jam 6.50 pagi itu, Muhammad Zulhilmi Razali yang beralamat di Pulau Chondong, Kelantan disahkan maut di lokasi kejadian, manakala pemandu kereta jenis Perodua Myvi berusia 38 tahun tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu seorang wanita itu dalam perjalanan dari arah Krubong menghala ke Jalan Taman Merak.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian Myvi terbabit membelok ke kanan untuk memasuki ke Taman Merak namun motosikal mangsa yang datang secara tiba-tiba dari arah bertentangan merempuh bahagian kiri kereta tersebut.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal cedera parah dan disahkan maut oleh penolong pegawai perubatan di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, berikutan itu mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Jelasnya, pemandu kereta tersebut dibawa ke hospital sama untuk diambil sampel darah sebelum dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan pengesanan kandungan alkohol dan dadah.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.