Pekerja pembersihan dihadapkan ke mahkamah

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 26 Nov. – Padah cuba merogol , mencabul dan menceroboh masuk sebuah kediaman minggu lalu, pekerja pembersihan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Tertuduh, Amirul Hanif Ibrahim, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa cuba merogol seorang perempuan berusia 23 tahun oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 376/512 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas mangsa sama dengan niat hendak mencabul kehormatannya dan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Justeru dia berdepan dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5, 000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan kerana melakukan pencerobohan jenayah.

Kesemua perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, pada jam kira- kira 10.53 pagi, pada 17 November 2020.

Terdahulu, prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shukri Hussain tidak mencadangkan sebarang jaminan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Ahmad Soleh Yusof memohon jaminan rendah diberikan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan jaminan akan dibayar oleh adik tertuduh selain menetapkan syarat tambahan dia perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan serta tidak menghampiri atau mengganggu mangsa.

Views:

759
Kongsi :
Previous post Google papar ‘doodle’ khas hargai biduanita Saloma
Next post Penganggur berdepan hukuman penjara 17 tahun
Ubah saiz-+=