Pelaburan Melaka catat trend peningkatan setiap tahun – MIDA

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 24 Sept. – Melaka merekodkan nilai pelaburan RM3.45 bilion bagi Januari hingga Jun lalu, sekali gus menunjukkan trend peningkatan pelaburan pada setiap tahun.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Promosi Pelaburan dan Fasilitasi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), S. Sivasuriyamoorthy berkata, pencapaian itu sudah pasti membuktikan Melaka mampu mencapai pelaburan RM5 bilion seperti disasarkan tahun ini.

“Kalau kita perhatikan dari segi trend kelulusan atau kejayaan untuk menarik projek ke Melaka, ia menunjukkan trend yang meningkat dari tahun ke tahun.

“Bagi 2019 jumlah pelaburan RM0.8 bilion, tahun 2020 meningkat kepada RM1.9 bilion dan tahun ini RM3.45 bilion dalam tempoh enam bulan pertama sahaja.

“Justeru, kita berpendapat bahawa kita masih boleh menarik lebih banyak pelaburan ke Melaka sehingga hujung tahun ini,” katanya.

Sivasuriyamoorthy yakin Melaka mampu capai pelaburan RM5 bilion disasarkan tahun ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual Melaka Hari Ini (MHI) di Pejabat MHI di sini, hari ini.

Jelasnya, pencapaian itu direkodkan hasil pelaburan yang banyak masuk ke Melaka meliputi sektor elektrikal dan elektronik selain projek sedia ada.

“Memang kita perhatikan pelaburan yang masuk ke Melaka banyak dalam sektor elektrikal dan elektronik, bukan sahaja projek-projek baharu tetapi juga projek sedia ada.

“Selain itu Melaka juga mempunyai tenaga kerja yang ramai daripada rakyat Malaysia sendiri.

“Baru-baru ini saya berjumpa dengan syarikat SunPower yang memaklumkan hampir 95 peratus tenaga kerja mereka rakyat Malaysia.

“Apabila ditanya kepada mereka bagaimana mereka dapat mengekalkan guna tenaga ini, mereka mengatakan bahawa ‘due to the facilities’ yang mereka berikan termasuk peluang kenaikan pangkat dan latihan,” katanya lagi.

Hadir sama Pengarah MIDA Melaka, Jaibalan Harirajan dan Pengarah Bahagian Pelaburan Domestik MIDA, Sukri Abu Bakar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

895
Kongsi :
Previous post Semarak Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia di SMK Lubok China
Next post MIDA, Invest Melaka seiring tarik kedatangan pelabur
Ubah saiz-+=