Pelajar raih 9A mahu ikut jejak langkah bapa bergelar jurutera elektrik

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BUKIT RAMBAI 16 Jun – Meminati bidang kejuruteraan elektrik menjadi antara faktor yang mendorong Muhammad Nur Aiqal Zamri, 18, belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya memperoleh keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Anak keempat daripada lima beradik itu merupakan pelajar terbaik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rambai dalam pengumuman keputusan SPM yang diadakan, hari ini.

Muhammad Nur Aiqal berkata, dia menjadikan bapanya, Zamri Md Zahari, 48 yang berkhidmat sebagai jurutera elektrik di Petronas Penapisan Melaka sebagai suri teladan, sehingga dia bertekad mahu mengikut jejak langkah bapanya itu.

“Apa yang memotivasikan saya ialah ibu bapa yang sentiasa memberi dorongan untuk saya lakukan yang terbaik dan tidak dilupa juga kepada guru-guru.

“Insya-Allah, saya berhasrat mahu menyambung pengajian di Universiti Teknologi Petronas dalam bidang kejuruteraan elektrik dan mahu mengikut jejak ayah saya dalam bidang tersebut,” katanya yang ditemui di SMK Bukit Rambai, hari ini.

ANTARA pelajar yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Majlis Pengumuman SPM di SMK Bukit Rambai, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Sementara itu, Zamri, 48 berkata, sebagai bapa, dia sentiasa mahukan yang terbaik daripada anak-anak.

Namun, katanya, di sebalik dorongan yang diberikan, dia juga sentiasa mengingatkan anaknya itu agar tidak terlalu memaksa diri dan mengetahui had sebenar diri mereka dalam belajar.

“Sebelum ini, anak ada minta izin nak bangun belajar pada jam 3, 4 pagi, sebagai bapa saya kata terpulang, tetapi jangan sesekali paksa diri sebab jika kita terlalu memaksa dan tidak capai apa yang dimahukan dia akan kecewa.

“Jadi, saya selalu ingatkan anak saya agar tahu had sebenar dan buat semampu mereka,” katanya.

Dalam pada itu, dia turut merakamkan ucapan terima kasih kepada guru-guru SMK Bukit Rambai yang banyak membantu pelajar-pelajar termasuk anaknya meraih kejayaan cemerlang dalam SPM walaupun berdepan pelbagai kekangan dan cabaran sejak pandemik COVID-19 melanda.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1501
Kongsi :
Previous post Tajuk-tajuk Utama Akhbar – Khamis 16 Jun 2022
Next post Tiada ibu, ayah untuk berkongsi kejayaan
Ubah saiz-+=