Pelajar sekolah antara dua maut dalam kemalangan

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

ALOR GAJAH 4 Julai- Seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kejadian di Jalan Air Tanai, Air Paabas, di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 6.20 pagi itu mengakibatkan mangsa Muhammad Khiesyam Mohamad Jamel, 14, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Haji Talib Karim, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan membabitkan motosikal Modenas Kriss dan SUV Honda CRV dipandu lelaki warga emas berusia 60 tahun.

Beliau berkata, sebelum kemalangan SUV terbabit dalam perjalanan dari arah Masjid Tanah menghala Alor Gajah manakala mangsa dari Alor Gajah menghala Air Paabas.

“Siasatan awal dilakukan mendapati sebaik tiba lokasi kejadian SUV terbabit dipercayai masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal mangsa yang kebetulan melalui kawasan itu.

“Akibat pertembungan itu mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah manakala pemandu SUV dilaporkan tidak cedera,” katanya.

MOTOSIKAL ditunggang wanita warga emas selepas digilis lori di Taman Mutiara. Foto ihsan PDRM

Sementara itu, Arshad berkata, dalam kejadian berasingan kira-kira jam 9.40 pagi, seorang wanita warga emas disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan selepas terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Taman Mutiara.

“Wanita terbabit S S Chandra, 60, disahkan meninggal kira-kira jam 11.40 pagi ketika dirawat di Hospital Alor Gajah.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan lori terbabit sehingga mengakibatkannya terjatuh dan digilis bahagian tayar belakang sebelah kiri,” katanya.

Arshad berkata, kedua-dua mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2134
Kongsi :
Previous post Tajuk-tajuk Utama Akhbar – Isnin, 4 Julai 2022
Next post Minyak masak paket tiada, terpaksa cari merata tempat – Peniaga
Ubah saiz-+=