Pelajar sekolah maut, rakan parah dirempuh kereta

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KLEBANG 28 Januari – Seorang pelajar sekolah maut, manakala kenalannya cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Jalan Klebang Besar berhampiran sebuah stesen minyak, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi tadi, Muhammad Afiq Danish Abd Aziz, 14, yang merupakan pembonceng motosikal jenis Honda AFS125MCSH meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penunggang motosikal berusia 41 tahun kini ditempatkan di zon merah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati, penunggang dan pembonceng motosikal yang datang dari arah Bandar Melaka ke Pantai Klebang dikatakan sedang menuju ke stesen minyak untuk membeli air.

Pada masa sama, katanya, datang sebuah kereta dari arah sama telah melanggar kedua-dua mangsa dari arah belakang.

“Rempuhan itu menyebabkan pembonceng motosikal maut di tempat kejadian dan rakannya parah dan kini ditempatkan di zon merah Hospital Melaka.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan POL 61 telah dikeluarkan bagi melakukan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian.

“Manakala pemandu dan penumpang kereta Proton Waja telah melarikan diri dan meninggalkan lokasi kejadian,” katanya.

IMG-20230128-WA0008
KEADAAN kereta Proton Waja yang merempuh penunggang dan pembonceng motosikal di Jalan Klebang Besar. Pemandu dan penumpang kereta bagaimanapun melarikan diri.

Beliau berkata, setakat ini, pemandu dan penumpang kereta berkenaan masih belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

8384
Kongsi :
Previous post Lapan termasuk empat pegawai kanan polis ditahan bantu siasatan kes di Tawau
Next post Sekolah perlu anjurkan lebih banyak program perpaduan – KM
Ubah saiz-+=