Pelajar UTeM rangkul Anugerah Utama Kategori DHL Design Challenge

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

DURIAN TUNGGAL 2 Sept. – Dua pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merangkul Anugerah Utama Kategori DHL Design Challenge pada Pertandingan Akhir Innovate Malaysia Design Competition (IMDC) 2020, baru-baru ini.

Ia menerusi projek ‘Realtime Courier Route Planning for Customer Centric Delivery’ iaitu aplikasi menggabungkan ‘Route Optimizing Algorithm dan Chatbot’ bagi memaksimumkan produktiviti pemandu dan kepercayaan pelanggan.

Naib Canselor UTeM Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim berkata, kejayaan itu mampu menjadikan bakat Tuah UTeM terus menonjol serta beraksi cemerlang.

“Pertandingan IMDC 2020 platform baik mencungkil dan mempamer bakat Tuah UTeM sekali gus mengharumkan nama UTeM di pentas dunia.

“Diharap kemenangan ini dapat meneruskan momentum semangat pelajar UTeM supaya terus berinovasi, kreatif dan berdaya saing seiring dengan visi dan misi UTeM,” katanya.

Dua pelajar dari jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepintaran Buatan) dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) UTeM itu ialah Teoh Kah Lun dan Sow Chen Wei dengan bimbingan Pensyarah Prof Madya Dr. Choo Yun Huoy dan Dr. Nur Zareen Zulkarnain.

Menurut Raha, kejayaan itu melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3,000.

“Pengumuman keputusan dilakukan sehari selepas pertandingan akhir pada 17 Ogos lalu yang dijalankan secara atas talian.

“Pasukan UTeM berjaya mendahului empat kumpulan lain dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Sungai Long, UTAR Kampar, Swinburne dan Universiti Multimedia (MMU),” katanya.

Untuk rekod, IMDC 2020 menerima penyertaan sebanyak 367 pasukan dari 28 universiti di seluruh negara.

Daripada jumlah itu hanya 59 pasukan disenarai pendek sebagai pasukan finalis untuk bertanding pada pertandingan akhir.

Views:

556
Kongsi :
Previous post Rais Yatim dimasyhurkan sebagai Speaker Dewan Negara ke-18
Next post Skim ARTO2020 bantu anak Melaka miliki rumah sendiri
Ubah saiz-+=