PELANCONGAN JALAN LAUT MELAKA MERIAH SETIAP ISNIN

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

KOTA LAKSAMANA 11 November – Dianggarkan lebih 4,000 pelancong akan datang ke Melaka pada hari Isnin setiap minggu melalui jalan laut.

Ia selepas kapal persiar mewah, Genting Dream Cruise memulakan pelayaran sulungnya ke Melaka dengan kekerapan 52 kali setahun bermula hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelayaran tersebut berupaya memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan Negeri Melaka dengan membawa jumlah pelancong yang cukup besar, melebihi sebuah pesawat.

“Jika sebuah pesawat besar boleh membawa 300 hingga 400 penumpang, tetapi kapal persiar mewah ini membawa nisbah cukup besar umpama 10 buah pesawat A380.

“Kapal ini dapat membawa lebih 4,000 pelancong pada satu-satu masa dan mereka memilih Melaka sebagai destinasi persinggahan pada Isnin setiap minggu.

“Pastinya, ia akan menjadikan Melaka sebagai pilihan utama pelancong yang meminati kaedah pelancongan kapal persiar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Ketibaan Kapal Persiaran Genting Dream di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Presiden Resort World Cruises, Micheal Goh serta kenamaan lain.

Terdahulu, Ketua Menteri bersama 3,881 penumpang Genting Dream Cruise dari Harbour Bay, Singapura tiba di Kompleks ICQS kira-kira jam 8.40 pagi dan disambut meriah dengan paluan kompang serta gendang, selain persembahan kebudayaan.

Dalam pada itu, Ab Rauf meminta semua pemain industri pelacongan di negeri ini bersedia untuk menyambut dan meraikan pelancong yang tiba dengan kapal persiar ini pada setiap minggu.

“Raikanlah mereka (pelancong) dengan sebaik-baiknya kerana kita membawa dunia datang ke Melaka dan industri pelancongan kita akan berkembang pesat apabila kita turut dipilih sebagai tuan rumah mewakili Malaysia pada World Tourism Day 2025 (WTD 2025) tahun depan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

528
Kongsi :
Previous post PELAYARAN BERSEJARAH GENTING DREAM CRUISE KE MELAKA
Next post TMM2024: MELAKA MAMPU CAPAI SASARAN 15 JUTA PELANCONG
Ubah saiz-+=