Sorting by

×

PELAYARAN BERSEJARAH GENTING DREAM CRUISE KE MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

KOTA LAKSAMANA 11 November – Tanggal 11 November melakar sejarah baharu buat Negeri Melaka apabila buat julung kalinya kapal persiaran mewah, Genting Dream Cruise berlabuh di Melaka.

Pelayaran bersejarah itu turut dinaiki Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama 3,881 penumpang dari Harbour Bay, Singapura dan turun di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Melaka, di sini.

Turut bersama Ketua Menteri adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Presiden Resort World Cruises Micheal Goh.

Kesemua penumpang kapal persiaran itu tiba di Kompleks ICQS kira-kira jam 8.40 pagi dan disambut meriah dengan paluan kompang serta gendang daripada masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Turut bersama menyambut penumpang adalah Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco serta ketua-ketua jabatan.

Penumpang yang tiba kemudiannya dihiburkan dengan persembahan lagu tema Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), Senandung Anak Melaka dan persembahan kebudayaan daripada penari Institut Warisan Melaka (INSWA).

Sempena pelayaran sulung itu juga, Kerajaan Negeri telah memberi insentif kemasukan percuma kepada pelancong kapal persiaran itu ke beberapa lokasi pelancongan seperti Menara Taming Sari, Muzium Sejarah dan Etnografi, Melaka River Cruise dan menyaksikan persembahan di Encore Melaka.

Difahamkan, Genting Dream Cruise akan menawarkan sebanyak 52 pelayaran dalam Pakej ‘2 Night Cruises’ dari Singapura-Melaka-Singapura dengan anggaran seramai 200,000 pelancong setahun sekali gus menyokong kempen TMM2024.

Pada masa sama, ia juga memperkukuhkan kedudukan Melaka sebagai destinasi pelancongan antarabangsa khususnya dalam pasaran pelayaran kapal persiaran antarabangsa.

Dengan usaha ini, diharap ia dapat mempertingkatkan lagi imej Melaka sebagai destinasi pelayaran yang popular di Malaysia mahupun Asia dan seterusnya menarik pengendali kapal-kapal persiaran antarabangsa untuk berlabuh di Negeri Melaka pada masa akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4490
Kongsi :
Previous post SIDANG DUN BAJET 2025 : SEKTOR PELANCONGAN DAN PELABURAN JADI TUMPUAN
Next post PELANCONGAN JALAN LAUT MELAKA MERIAH SETIAP ISNIN
Ubah saiz-+=