Pelawa hospital swasta promosi TMM2024, perkasa pelancongan kesihatan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BATU BERENDAM 15 Mei – Kerajaan Negeri menerusi Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) mempelawa wakil hospital swasta di negeri ini turut serta dalam siri promosi pelancongan Melaka ke luar negara.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, langkah itu sebagai usaha untuk memperkasa sektor pelancongan kesihatan di negeri ini menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024)

Katanya, pelancongan Melaka terbahagi kepada 13 cabang sektor, dan pelancongan kesihatan antara sektor utama yang menarik ramai pelancong dari negara jiran.

“Kita tahu ramai pelancong Indonesia ke Melaka untuk mendapatkan rawatan di sini, jadi pihak pelancongan negeri turut mengalu-alukan penglibatan lebih banyak hospital swasta di negeri ini untuk menyertai siri promosi sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Ada hospital yang telah terlibat dan kita telah bawa ke siri promosi seperti ke Dubai, Indonesia, Thailand dan minggu hadapan ke Filipina,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Sambutan Penerbangan Pertama Pesawat Wings Air ke Melaka 2023 di LTAM, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kerja Raya Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Abdul Razak turut memaklumkan pihaknya telah merangka dan menjalankan pelbagai inisiatif menerusi pelbagai penganjuran untuk mempromosikan Melaka sempena TMM2024.

“Menerusi BPP, pelbagai usaha kita rangka untuk menarik pelancong dan pihak kita akan giat melaksanakan pelbagai kempen di luar dan dalam negara untuk menjadikan Melaka sebagai sebuah destinasi pelancongan sekali gus merealisasikan kehadiran 8.4 juta pelancong pada tahun ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1612
Kongsi :
Previous post Wings Air mendarat di LTAM, tawar penerbangan Melaka-Pekanbaru
Next post Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan: Pendaftaran dibuka 15 Mei hingga 28 Julai
Ubah saiz-+=