Pelihara koloni kelip-kelip Paya Lebar

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER LIMAU 26 Jun – Usaha mengindahkan dan menjaga kelestarian alam di sekitar Pusat Ekopelancongan Paya Lebar diteruskan menerusi Program Penanaman Pokok Berembang bagi aktiviti pembiakan kelip-kelip.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, program hasil inisiatif Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) itu turut mendapat kerjasama jabatan dan agensi Kerajaan Melaka serta pihak swasta.

Hameed berkata, antara yang tampil menyokong inisiatif menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu adalah Jabatan Perhutanan Negeri Melaka, Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), Pejabat Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Negeri Melaka, Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Negeri Melaka (PPSPM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Maxeon Manufacturing Malaysia Sdn Bhd.

“Turut serta adalah pelajar dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu Melaka dan Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi Melaka (MiCoST).

“Kali ini 50 anak pokok berembang ditanam dan mengikut kebiasaan mengambil masa tiga tahun untuk besar, sebelum sesuai sebagai lokasi pembiakan kelip-kelip.

“Apabila sudah mencapai tempoh matang kelak, lokasi sekitar ini akan menjadi tumpuan peminat kelip-kelip, sekali gus menambah satu lagi produk pelancongan baharu bagi Negeri Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau berkata usaha pembiakan kelip-kelip itu akan diteruskan lagi pada masa akan datang dengan penglibatan lebih banyak pihak.

“Pada masa akan datang kita bercadang untuk melaksanakan tanaman semula pokok bakau. Difahamkan pokok berembang dan bakau adalah lokasi pembiakan kelip-kelip.

“Saya percaya usaha kita laksanakan ini mampu menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong ke Paya Lebar bagi menikmati keindahan flora serta fauna,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

106
Kongsi :
Previous post Polis tembak mati dua penjenayah
Next post Azhar lakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri
Ubah saiz-+=