Peluang kedua untuk 3,000 penghuni penjara

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

SUNGAI UDANG 22 Ogos – Kira-kira 3,000 penghuni penjara akan dilatih dan diberikan tauliah Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam menerusi Program Sinar Di Sebalik Tirai Besi dalam tempoh 10 tahun.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ia akan membabitkan peruntukan sebanyak RM1.57 juta bagi pelaksanaan latihan kemahiran membabitkan 17 buah penjara seluruh negara.

Katanya, inisiatif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia itu juga diharap dapat membantu bekas penghuni penjara membina kehidupan baharu selepas selesai menjalani tempoh pemulihan.

“Program ini juga diharap dapat membantu mengurangkan kebergantungan terhadap kira-kira 6,000 pekerja asing daripada keseluruhan 27,000 pekerja dalam sektor pembersihan awam di negara ini.

“Setakat ini, seramai 280 orang penghuni penjara di 17 Institusi Penjara di Semenanjung Malaysia dipilih bagi menyertai program yang pertama kalinya diadakan tahun ini, bermula 1 Jun lalu yang diikuti selama lapan bulan dengan elaun sebanyak RM500 sebulan.

“Program latihan kemahiran secara teori dan amali ini membolehkan perantis didedahkan dengan skop berkaitan cara kerja, pengendalian peralatan dan pematuhan keselamatan mengikut standard enam aktiviti utama ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sinar Di Sebalik Tirai Besi Inisiatif Pensijilan Kemahiran Malaysia Bidang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam di Penjara Sungai Udang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata program tersebut akan diperluaskan lagi dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Kita juga sedang merancang untuk perluaskan kerjasama ini dengan penghuni-penghuni di Sekolah Henry Gurney dan pusat-pusat pemulihan di bawah AADK.

“SKM yang kita reka di bawah program ini mempunyai beberapa tahap, iaitu tahap dua sebagai pekerja am dan boleh disambung kepada tahap tiga atau empat menjadi penyelia serta peringkat pengurusan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1057
Kongsi :
Previous post Program R&D pertahanan pupuk minat pelajar dalam inovasi
Next post Minimakan peratusan bekas banduan kembali ke penjara
Ubah saiz-+=