Pelupusan bersyarat pinjaman kurangkan 80 peratus beban peneroka

Masa Membaca:2 Minit, 49 Saat

KUALA LUMPUR 7 Julai – Kerajaan secara dasar bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berjumlah RM8.3 bilion sebagai inisiatif penjanaan semula organisasi berusia 65 tahun itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, pelupusan pinjaman yang akan dilaksanakan melalui inisiatif pelarasan pinjaman secara bersyarat itu akan mengurangkan bebanan pinjaman setiap peneroka secara purata sebanyak 80 peratus.

“Purata bayaran balik pinjaman dijangka berkurangan daripada sekitar RM800 ke RM1,000 kepada hanya RM250 ke RM300 sebulan bagi peneroka sawit dan serendah RM150 bagi peneroka getah iaitu satu kadar yang sangat munasabah dan mampu dibayar mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam rakaman ucapan yang disiarkan melalui stesen televisyen dan media sosial sempena sambutan Hari Peneroka hari ini.

MUHYIDDIN

Muhyiddin berkata, penjanaan semula Felda itu antara strategi serampang tiga mata iaitu Restart, Revitalise dan Reform bagi mengembalikan Felda menjadi syarikat perladangan terulung dunia seterusnya tersenarai sebagai antara syarikat global paling berjaya seperti di dalam Fortune Global 500.

Menjelaskan lanjut, Muhyiddin berkata, pelupusan bersyarat itu antaranya merangkumi pelarasan sebahagian baki pinjaman tanam semula sehingga 31 Disember 2019 berjumlah RM8 bilion yang akan memberi manfaat kepada 92,441 peneroka atau 82 peratus dari keseluruhan 112,638 warga peneroka.

Selain itu, pelarasan sebahagian baki tunggakan pinjaman baja sehingga tempoh sama berjumlah RM168 juta melibatkan 52,180 peneroka dan pelarasan sepenuhnya baki pinjaman pembangunan asal juga sehingga tempoh sama berjumlah RM56 juta melibatkan 6,711 peneroka.

Ia juga melibatkan pelarasan sepenuhnya baki pinjaman saham FGV Holdings Bhd sehingga 7 Julai bernilai RM78 juta, melibatkan 38,043 peneroka.

Menurut Muhyiddin, inisiatif ini diambil memandangkan isu pinjaman ini yang membelenggu pewaris peneroka sekian lama dikenal pasti sebagai antara isu yang mampu merencatkan usaha Felda untuk kembali bangun setanding syarikat perladangan terkemuka dunia.

“Isu hutang ini harus diperbetulkan dahulu untuk memudahcarakan proses penjanaan semula atau ‘restart’ Felda,” katanya.

Justeru, Muhyiddin berharap usaha diambil kerajaan ini dapat menjadi titik tolak atau ‘reset button’ untuk warga peneroka lebih bersemangat dan fokus dalam melipatgandakan hasil serta pendapatan, sekali gus mengupayakan pengurusan kewangan dengan lebih berhemat.

“Saya amat berharap dengan perjanjian baharu yang akan ditandatangani peneroka dengan FELDA di bawah inisiatif pelarasan bersyarat ini, warga peneroka akan lebih komited dalam memenuhi segala terma dipersetujui kelak agar dapat sama-sama memikul tanggungjawab meningkatkan produktiviti seterusnya menjamin kelestarian FELDA,” katanya.

 

Sementara itu, Muhyiddin berkata kerajaan akan sentiasa komited dalam mendokong usaha membangunkan komuniti peneroka Felda, namun tiba masanya untuk generasi baharu tampil menggalas cabaran dan tanggungjawab mengemudi perubahan komuniti itu.

“Setelah 65 tahun penubuhannya, saya percaya warga Felda kini sudah cukup matang. Setelah menerima pelbagai bantuan dan sokongan, kini anda semua tentunya sudah bersedia untuk menabur budi dengan menyumbang pula kepada masyarakat seluruhnya,” katanya.

Perdana Menteri berkata segala inisiatif yang disusun kerajaan harus disambut dan dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh warga Felda agar usaha menaik taraf sosio-ekonomi peneroka dapat terus diperkasakan bagi menjamin masa depan generasi baharu komuniti itu.

Selain itu, Muhyiddin berkata, inisiatif “Sedekah” yang digerakkan oleh warga peneroka di seluruh negara setakat ini berjumlah RM10 juta dan berharap inisiatif prihatin sedemikian dapat terus dilaksanakan selari dengan tema Hari Peneroka pada tahun ini “Anjakan Minda Peneroka”.

“Saya percaya kita sedang sama-sama menyaksikan permulaan baharu Felda. Terima kasih kepada generasi terdahulu yang telah membantu meletakkan batu asas yang kukuh dalam usaha membangunkan FELDA,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

692
Kongsi :
Previous post ‘Fikir orang lain bila ambil bantuan’
Next post PKPD seluruh daerah Seremban berkuat kuasa 9 Julai
Ubah saiz-+=