Pemaju perlu sediakan tapak niaga baharu pada peniaga Kampung Jawa – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 18 Januari – Semua peniaga di Kampung Jawa tidak akan dipindahkan sehingga pihak pemaju yang mencadangkan pembangunan hotel di kawasan itu menerima kebenaran merancang pembangunan .

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan berkata peniaga di Kampung Jawa masih boleh meneruskan perniagaan sehingga 31 Mei depan.

Katanya, sekiranya pihak kontraktor masih belum melakukan apa-apa pembangunan di tapak berkenaan, tempoh perniagaan akan dilanjutkan jadi pihak pemaju diminta menyediakan tapak baharu untuk mereka di kawasan pembangunan itu juga.

“Peniaga ada cadangkan tapak untuk mereka berniaga, tetapi semua tapak itu adalah tanah hak milik orang ramai dan kalau kita hendak beli tanah itu harganya satu kaki RM200, jadi kalau nak buat satu unit kedai dengan tapak 10×10 dah jadi RM20,000 untuk tapak sahaja.

“Jika bina 15 kedai boleh mencecah sehingga RM300,000 untuk tapak sahaja, mana mungkin peniaga boleh bayar sewa bulanan sehingga RM2,000 sebulan, ia tidak munasabah.

“Sebab itu kita minta pemaju tentukan peniaga ditempatkan di kawasan mana, untuk bayaran sewa kedai pemaju yang tentukan sama ada serah kepada Kerajaan Negeri atau pada mereka sendiri,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zaidi turut meminta supaya Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali mengeluarkan surat kepada pihak pemaju untuk menyediakan tapak kepada peniaga di Kampung Jawa.

“Saya minta supaya Ketua Menteri dapat membuat satu surat kepada pihak pemaju untuk menyediakan tapak kepada peniaga Kampung Jawa dalam pembangunan nanti.

“Pemaju kena sediakan tapak dalam pembangunan kebenaran merancang mereka, pemaju bercadang membina hotel mungkin ada sedikit kawasan tepi hotel itu akan dijadikan kedai,” katanya.

Sebelum ini MHI melaporkan Kampung Jawa yang popular sebagai kawasan beli-belah barangan keperluan dan rumah sejak lebih 100 tahun lepas akan ditutup pada 31 Mei ini bagi memberi laluan kepada pembangunan projek baharu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1814
Kongsi :
Previous post 3 lokasi ‘wajib’ singgah Tahun Baharu Cina
Next post Op TBC: Cuti 203 anggota penguat kuasa JPJ Melaka dibeku
Ubah saiz-+=