Pemaju Taman Seri Aman Lagenda dipanggil

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER LIMAU 19 Jan – Kerajaan negeri akan memanggil pemaju projek perumahan Taman Seri Aman Lagenda, di sini bagi menyelesaikan isu terbengkalai yang dibangkitkan pembeli di kawasan itu.

Exco Perumahan negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, kerajaan negeri perlu meneliti masalah dihadapi pemaju bagi mencari kaedah penyelesaian terbaik.

Katanya, perbincangan dengan pemaju dan pembeli perlu dibuat bagi mewujudkan situasi menang-menang bagi semua pihak yang terbabit dalam projek pembinaan 54 unit rumah kos sederhana tinggi itu.

“Saya akan memanggil pemaju untuk meneliti masalah mereka dan perbincangan juga akan membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas dakwaan sebahagian daripada pembeli rumah berkenaan yang kecewa berikutan projek itu gagal disiapkan pemaju seperti dijanjikan.

Mereka dilaporkan merayu campur tangan kerajaan negeri kerana terpaksa menanggung beban membayar balik pinjaman perumahan sedangkan rumah yang dijanjikan siap dibina dalam tempoh dua tahun sejak mula dibina pada 2017, gagal disiapkan.

Sementara itu, wakil pembeli, Intan Nurfarhana Kamarolzaman, 32, berkata susulan laporan Melaka Hari Ini (MHI) mengenai dakwaan pembeli Isnin lalu, pemaju sudah menghubungi seorang daripada mereka melalui emel.

“Pemaju berjanji akan bertemu pembeli selepas bermesyuarat dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

“Kami amat berharap pemaju akan segera berbuat demikian bagi menyelesaikan masalah yang sudah berlarutan sejak empat tahun lalu,” katanya ketika dihubungi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1642
Kongsi :
Previous post 99 majikan degil didakwa
Next post Imigresen kesan lelaki warga India untuk perbicaraan
Ubah saiz-+=