Pemandu lori didakwa memandu berbahaya, sebabkan kematian tiga tentera

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

GURUN, 15 Feb – Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya dan menyebabkan kematian tiga anggota tentera pada 2 Feb lepas.

Muhammad Huzaifah Azhari, 31, didakwa memandu sebuah lori dalam keadaan berbahaya sehingga menyebabkan kematian Lans Koperal Mohd Hafiz Haris, 30, Sarjan Rozali Abdull Rani, 39, dan Koperal Mohd Asri Idris, 40, di Kilometer 77.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Gurun kira-kira pukul 10.30 pagi pada tarikh berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda hingga RM20,000, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Natasha Azmi mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Ummi Kalthum Zakaria merayu jaminan minimum diberikan dengan alasan anak guamnya menanggung seorang isteri serta dua anak yang masih kecil.

Majistret Anis Suraya Ahmad kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta lesen memandunya digantung dan menetapkan 6 Mac sebagai sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan tiga anggota tentera dari Batalion 3 Rejimen Sempadan Kem Pengkalan Hulu, Perak maut dalam nahas membabitkan empat kenderaan termasuk tiga trak tentera di Kilometer 77.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Gurun.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

983
Kongsi :
Previous post Jangan lupa Jualan Ihsan Rahmah TMM2024 setiap 24 hari bulan
Next post Tawaran istimewa 7 hari di ‘Taman Warisan Ajaib’
Ubah saiz-+=