Pemandu maut, tujuh penumpang cedera bas rempuh treler

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

ALOR GAJAH 11 Mac – Pemandu maut manakala tujuh penumpang cedera selepas bas ekpres dinaiki merempuh belakang sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 220.4 Lebuhraya Utara Selatan arah utara awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 2.30 pagi itu, Zulkarnain Jalil, 41 maut di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala dan anggota badan manakala penumpang yang cedera berusia antara 16 hingga 54 tahun.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata siasatan awal mendapati bas berkenaan yang membawa 30 penumpang dalam perjalanan dari Terminal Bas Larkin, Johor Bahru menghala ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur.

Katanya, manakala treler dipandu lelaki berusia 44 tahun dalam perjalanan dari Kota Tinggi, Johor menghala ke Senawang, Negeri Sembilan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila bas ekpres berkenaan merempuh bahagian belakang treler yang berada di lorong kiri lebuh raya.

“Akibat rempuhan itu, pemandu bas terseput dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat manakala tujuh lagi yang cedera dihantar ke dua hospital untuk rawatan lanjut.

“Dua daripada penumpang yang cedera termasuk seorang daripadanya parah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban manakala lima lagi dihantar ke Hospital Rembau.

“Manakala penumpang yang tidak mengalami kecederaan meneruskan perjalanan ke TBS menaiki bas ganti disediakan syarikat sama,” katanya.

Arshad berkata, kedua-dua kenderaan yang terlibat kemalangan dibawa ke Balai Trafik Alor Gajah untuk pemeriksaan Puspakom.

Katanya, saksi awam dikesan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3378
Kongsi :
Previous post 447,982 murid tahun satu terima bantuan awal persekolahan
Next post Maskot panda dan dinosaur sambut murid SK Kampung Tun Razak
Ubah saiz-+=