Pemandu teksi JB – Singapura mula rancak bawa penumpang

Masa Membaca:2 Minit, 31 Saat

JOHOR BAHRU, 1 Mei – Khidmat teksi rentas sempadan antara Singapura dan Malaysia yang disambung semula bermula hari ini selepas dua tahun digantung akibat pandemik COVID-19, adalah rahmat dan hadiah bagi pemandu teksi di kedua-dua buah negara.

Setelah dua tahun hilang punca pendapatan, golongan terbabit dilihat sibuk dan ‘hidup’ dengan mengambil penumpang di Terminal Bas Larkin Sentral, di sini hari ini.

Arshad Abdul Jalal, 56, menyifatkan ia sebagai rahmat menjelang Syawal memandangkan masalah permohonan permit untuk ke Singapura dialami mereka sebelum ini telah selesai.

“Tepat 12 malam tadi kami sudah mula ambil penumpang di sini dan juga Singapura…selepas dua tahun tidak dapat masuk Singapura, hari ini adalah hari pertama kita dapat beroperasi.

“Alhamdulillah apabila diumumkan kita dapat masuk, rasa bersyukur sebab proses untuk dapat permit ke Singapura ambil masa juga tetapi dengan berkat semua pihak yang membantu akhirnya dapat masuk semula…perasaan gembira itu tidak dapat digambarkan,” katanya yang telah lima tahun memandu teksi ke republik itu kepada Bernama ketika ditemui di Terminal Bas Larkin Sentral, di sini.

Perasaan gembira turut diluahkan pemandu teksi warga Singapura, Hanif Mahbob, 69, yang menjelaskan kebenaran teksi rentas sempadan turut disambut baik pemandu teksi di republik itu, sekali gus berpeluang untuk bertemu kembali dengan rakan-rakan pemandu di sini.

“Alhamdulillah, memang rasa gembira kerana dapat bertemu kembali dengan rakan-rakan di sini (Johor), selama dua tahun ini saya hanya memandu teksi di Singapura, jadi apabila dapat masuk kembali rasa teruja.

“Menyediakan perkhidmatan teksi rentas sempadan ini tidak sama dengan memandu teksi dalam bandar raya, kerana ia lebih santai dan menenangkan,” katanya memandu teksi sejak 38 tahun lepas.

Sementara itu, Pengurus Bangunan Larkin Sentral Mohd Helmi Mohd Affendi berkata perkhidmatan bas dan teksi rentas sempadan Johor Bahru-Singapura beroperasi daripada stesen bas itu secara serentak hari ini.

Beliau berkata sebanyak tiga syarikat bas terlibat iaitu SBS Transit, Singapore Johore Express dan Causewaylink, dengan penghantaran bas pertama bermula pada 5.20 pagi dan terakhir 12.30 tengah malam.

“Bas merentas sempadan lebih kurang 100 trip sehari, dijangka minggu pertama tidak ramai kerana orang bercuti dan mungkin bertambah dalam minggu kedua,” katanya.

Mohd Helmi berkata, terdapat kira-kira 60 pemandu teksi Johor Bahru-Singapura dan dianggarkan 30 pemandu teksi dapat memulakan operasi mereka hari ini, memandangkan selebihnya masih dalam proses memperbaharui permit dan menunggu kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan republik itu.

“Bagaimanapun kita jangkakan jumlah teksi rentas sempadan akan bertambah dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati aliran trafik di Tambak Johor sejak awal pagi tadi hingga tengah hari ini sesak dan kenderaan bergerak perlahan dari Singapura menuju masuk ke negara ini melalui Johor Bahru.

Tinjauan dilakukan di Panggung Opera Permaisuri Zarith Sofiah yang terletak berhadapan Tambak Johor menunjukkan kenderaan hampir tidak bergerak kerana peningkatan kenderaan menuju masuk ke negara ini selain beberapa kumpulan individu berjalan menyeberang Tambak Johor dari Singapura untuk ke CIQ di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dipercayai untuk pulang ke kampung halaman dan mengambil peluang mengunjungi pusat beli-belah sempena Aidilfitri tidak lama lagi.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

778
Kongsi :
Previous post Empat lokasi ‘blackspot’ kemalangan maut dikenal pasti di Kota Bharu – Polis
Next post Media arus perdana perlu sentiasa ingatkan rakyat mengenai bahaya COVID-19
Ubah saiz-+=