Sorting by

×

Pemangku Sultan pikul tanggungjawab menjaga negeri dan rakyat Johor

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

JOHOR BAHRU, 22 Nov – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini bertitah Pemangku Sultan akan memikul tanggungjawab untuk menjaga negeri dan rakyat Johor serta menjalankan segala hak dan kuasa pemerintahan negeri.

Sultan Ibrahim bertitah, mengikut perlembagaan, sepanjang tempoh memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong, baginda perlu melepaskan tampuk pemerintahan negeri kepada Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang akan dilantik sebagai Pemangku Sultan.

Justeru, baginda mengamanahkan kepada kerajaan negeri untuk memberi tunjuk ajar kepada Tunku Mahkota Johor.

“Sama macam mana saya dibimbing sebagai Pemangku Sultan ketika Almarhum ayahanda saya menjadi Yang di-Pertuan Agong pada 1984.

“Pemangku Sultan akan memikul tanggungjawab untuk menjaga negeri dan rakyat Johor, serta menjalankan segala hak dan kuasa pemerintahan negeri kecuali sebagai Ketua Agama Islam.

“Walaupun saya bersemayam di Istana Negara, ini bukan bermakna saya berhijrah terus ke Kuala Lumpur. Saya akan selalu balik ke Johor kerana ini kampung saya. Harap orang Johor janganlah lupakan saya dan janganlah buat tak kenal saya selepas ini,” titah Sultan Johor dalam satu hantaran di laman Facebook baginda hari ini.

Titah ucapan Sultan Ibrahim itu adalah bersempena dengan Majlis Istiadat Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-65 di Dewan Singgahsana Istana Besar, di sini hari ini.

Sultan Ibrahim turut mengingatkan pegawai kerajaan supaya jangan campurkan urusan politik dalam pentadbiran kerajaan.

Titah baginda, setiap keputusan yang dibuat hendaklah bersandarkan kepada kepentingan rakyat dan kerajaan bukan disebabkan kepentingan politik.

“Jalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan jujur dan amanah. Anda semua sudah memahami cara saya, jangan buang masa dan jangan banyak temberang.

“Saya juga akan tinggalkan satu mata dan telinga di Johor untuk memantau apa yang berlaku di sini. Jangan terkejut jika saya tiba-tiba menjelma ke mana-mana daerah,” titah baginda.

Sultan Ibrahim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun dan berkuat kuasa 31 Januari 2024.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1053
Kongsi :
Previous post Banjir di Terengganu, Kelantan dan Perak: Lebih 5,000 mangsa berlindung di 38 PPS
Next post iBin tingkat kesedaran kitar semula
Ubah saiz-+=