Sorting by

×

Pembantu rumah Indonesia dibawa masuk berperingkat mulai 1 Julai – Saravanan

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

GOPENG, 9 Julai – Pengambilan pekerja warga asing bagi pembantu rumah dari Indonesia telah dilakukan secara berperingkat bermula awal bulan ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan berkata kebanyakan majikan di Malaysia lebih memilih untuk menggajikan pembantu rumah warga Indonesia berbanding negara lain seperti Kemboja dan Bangladesh.

“Ada (pekerja warga asing) yang sudah dibawa masuk namun jumlah kemasukan ini perlu disemak dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana Kementerian Sumber Manusia hanya memproses dokumen dan pengurusan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Rumah Kelab Bell Belia Tamil Gopeng di sini hari ini.

Pada 7 Jun, Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah dilaporkan berkata isu pengambilan pekerja asing dari Indonesia, Bangladesh dan Kemboja dijangka selesai dalam masa terdekat.

Sementara itu, beliau berkata kementeriannya akan membentangkan cadangan berkaitan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kemboja bagi membawa masuk pembantu rumah dari negara itu ke Kabinet.

“Kita masih dalam proses dan ia akan mengambil masa tetapi kita cuba mempercepat. Saya akan membentang cadangan MoU ke Kabinet untuk mengambil pekerja asing khususnya domestik, Kemboja ada pembantu rumah Islam dari kumpulan Champa yang telah tunjuk minat,” katanya.

Saravanan berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan Kemboja berhubung kerjasama itu dan pekerja akan diberi peluang untuk bekerja di negara ini dalam masa terdekat.

Ditanya sama ada proses pengambilan pekerja asing terjejas berikutan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan penyelewengan dalam pemilihan 25 syarikat Bangladesh sebagai ejen merekrut pekerja negara itu ke Malaysia termasuk syarikat Bestinet yang membekalkan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), Saravanan berkata ia tidak berkaitan.

“Ia tiada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap Bestinet kerana biasanya kementerian mengikut peraturan walaupun sistem yang digunakan diperoleh melalui KDN, kita cuma berkongsi sistem dan ia tidak menyebabkan apa-apa terjejas.

“Mungkin pihak Bestinet sibuk memberi kerjasama kepada SPRM dan mungkin berlaku sedikit kelewatan tetapi secara keseluruhan tidak ada kesan,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1200
Kongsi :
Previous post Kanak-kanak hilang dipercayai sesat di hutan atau jatuh sungai
Next post Bunuh isteri, bayi: 11 individu diambil keterangan
Ubah saiz-+=